Sudah lama aku tidak keluar membeli-belah. Bukannya kerana saya tiada duit tetapi kerana faktor kekangan masa dan cuaca menyebabkan aktiviti membeli-belah terpaksa ditunda selepas cuti persekolahan. Namun begitu saya telah memastikan segala peralatan persekolahan anak-anak mencukupi menjelang sesi persekolahan 2013 ini. Begitulah murninya hati seorang bapa yang mendahulukan keperluan anak-anaknya melebihi keperluan dirinya. Oppss! Terpuji diri sendiri pulak.

Memandangkan duit bonus masih berbaki maka pada hujung minggu lalu saya berkunjung ke Pasaraya Econjaya, Machang untuk membeli empat pasang seluar panjang untuk dipakai ke sekolah. Mengapa sampai 4 pasang sekaligus? Sebabnya saya suka membeli-belah secara pukal kerana ini lebih menjimatkan masa dan duit. Tambahan pula seluar-seluar yang dahulu sudah ketat kerana perut sudah membesar ke saiz 37! Bila ke sana saya cuba cari saiz 37 tetapi rupa-rupanya semua jenama tidak membuat saiz 37 jadi saya membeli saiz 38. Biarlah longgar sikit kerana saya boleh mengenakan tali pinggang dan ini juga sebagai persediaan jika perut saya semakin boroi kelak. Hehehehehe....


Selain dari itu saya mengambil kesempatan untuk membeli dua pasang kasut, satu untuk ke sekolah dan satu lagi untuk tujuan kasual atau santai. Saya ni susah sikit nak pilih kasut kerana kaki saya ni lebar sikit dan saiz yang biasa dipakai ialah 8. Tapi saiz ini sebenarnya berbeza mengikut jenama. Saiz 8 jenama Lois mungkin muat tapi saiz 8 jenama Lee mungkin ketat sikit. 'One size does not fit all!'. Barangkali saiz 8.5 sesuai tapi tiada nilai setengah di pasaran.

Kesimpulannya lelaki jarang membeli-belah tetapi bila mereka berbuat demikian mereka akan memastikan barangan yang dibeli berbaloi dengan duit yang dibelanjakan. Bak kata orang tua, 'alah membeli menang memakai'. Kami juga lebih suka keluar berseorangan untuk membeli-belah kerana tidak mahu orang bosan menunggu kami. Akhir kata, jadilah pengguna yang bijak dan belilah barangan buatan Malaysia!