MARILAH kita berhenti bicara soal politik yang menyesakkan seketika dan melihat pada permasalahan kami, para duda yang terbiar tanpa dipedulikan ini.

Pelamin anganku musnah, kusangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Itulah kata-kata yang tepat untuk nasib kami yang semakin ramai ini. Kami juga pada mulanya berimpian agar mahligai yang dibina berkekalan, namun takdir tidak menyebelahi kami.

Punca perceraian kami juga adalah seperti kebanyakan janda tetapi tidak adalah antara kami yang berpisah kerana tak rela dimadukan. Seperti wanita yang menjadi mangsa lelaki, kami juga menjadi mangsa kedurjanaan wanita. Kejamnya wanita!

Jika wanita menzalimi wanita dengan merampas suami orang maka kami juga begitu, tidak sangka ada lelaki yang merampas isteri kami. Kejamnya lelaki ini!

Nasib kami juga adalah ibarat tebu, habis madu sepah dibuang. Wanita agak beruntung kerana sekiranya habis madu, mereka masih dapat bermadu.

Masalah kami ialah duda tidak selaris janda. Ini kerana tiadanya wanita bermata keranjang yang cuba menggoda kami. Namun janganlah mengambil kesempatan atas kelemahan kami.

Ingin rasanya menubuhkan Persatuan Bapa Solo, ini mungkin menjadikan hidup lebih bermakna. Barangkali boleh diadakan aktiviti berdangdut pada malam minggu.

Kerap juga di muka pintu menunggu lamaran namun hampa. Di mana kan ku bawa hati yang lara ini?

Nukilan:

Duda Kacak Bergaya,
Taman Bukit Setiawangsa,
Kuala Lumpur. 

Sumber: Utusan Malaysia, 21 April 2009 
Follow my blog with Bloglovin