Pada 6 Dis 2013, Jumaat iaitu hari kedua kami berada di Sungai Merab cuaca sudah mula sedikit panas. Nampaknya bukan hanya Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan saja yang ditimpa hujan. Selangor pun sama. Pada pagi Jumaat yang mulia ini aku cuma duduk di rumah akak. Abang iparku pergi menoreh getah di Kampung Teras Jernang kerana cuaca baik manakala kakakku menyiapkan sarapan pagi. Aku pula membasuh pakaian kotor hari sebelumnya. Anak-anakku dan sepupu mereka bermain Internet dan menonton TV saja.


Pada hari tu aku menunaikan solat Jumaat di Masjid Desa Putra dengan membonceng motosikal abang ipar. Usai solat Jumaat, kami makan tengahari dan berehat sekejap. Hanya selepas solat Asar kami keluar ke Dataran Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Persona. Macam sardin aje sebab 4 orang dewasa dan 4 kanak-kanak menaikinya. 


Setibanya di Putrajaya, kami terus bergambar di tepi Tasik Putrajaya dan Masjid Putra. Selepas itu kami Dataran Putra dan anak-anakku serta anak saudara, Nabil, ingin menaiki motosikal berkuasa bateri dan basikal roda tiga. 


Belum puas mereka bermain, hujan pun turun. Jadi kami bergerak pulang ke rumah. Tapi sebelum balik, sempat juga kami bergambar di Jambatan Besi. Lawatan singkat itu sudah cukup membuatkan anak-anakku ceria. Alhamdulillah.