Dari kaunter juruwang kedai runcit kampung di Ketereh, Kelantan...

Alhamdulillah... baru setengah hari, rezeki berniaga agak ok hari ni. Dalam pada mencongak untung rugi semalam, teringat kisah si miskin, yang saya namakan si A dan si kaya, yang saya namakan si B. Semasa si A datang ke kedai semalam, pelanggan agak ramai masa tu. Kebetulan si B juga ada dikaunter bersama kawannya. Dengan suara yang agak perlahan, dia meminta barang-barang ingin dibelinya:


1. Beras nasional 1kg (beras paling murah yang saya jual)
2. Ikan bilis rm1.

3. Bawang rm1 (3 jenis bawang dicampur)
4. Ikan masin rm1.
5. Cili kering rm0.50.


Si B yang menguping sama mendengar kata-kata si A, tiba-tiba menegur si A, "Takkan banyak tu jer beli? Stok untuk berapa hari? Kalau saya, untuk sekali masak pun, tak cukup. Tuan kedai nak jual pun tak berbaloi". Disambut oleh gelak tawa rakannya. Si A tidak menjawab cuma tersenyum sahaja. Huhu..... saya tak kata apa, dia pulak yang lebih-lebih. Memang si A ni selalu datang dan saya dah biasa sangat dengan dia. Selagi ianya masih dalam kadar boleh ditimbang dan disukat, saya tetap jual dalam kadar yang diminta oleh pelanggan. Saya hanya mampu berkata dalam hati kepada si B, 'mind your own business'... huhu...

Saya bersyukur kerana berada di tempat ini, berpeluang untuk berkomunikasi secara langsung dengan masyarakat kg dan meneropong serta menelusuri hidup golongan yang tak berkemampuan ini. Pada saya, elok kiranya berbelanja mengikut kemampuan dan tidak berhutang. Mungkin si A, ingin mengelak dari berhutang jadi dia berbelanja mengikut wang yang ada dipoket. Bagi sesetengah orang, mereka lebih suka mengamalkan prinsip 'Biar papa, asal bergaya'... Namun kita lupa, dalam pada kita berharta, ada harta mereka di dalamnya yang kita lupa atau buat-buat lupa.

Cincin suasa emas berkarat,
Berlian delima dibelah tiga,
Kenapa dunia memilih darjat,
Si kaya dipuja, si miskin dihina.

Gemersik bunyi air mengalir,
Alunan indah membentuk nada,
Terusik jiwa rasa terusir,
Kala di tengah orang berada.

Sudah puas kutanam padi,
Nenas juga dipandang orang,
Sudah puas aku berbudi,
Emas juga dilihat orang.

Singgah ke pulau menggali ubi,
Kalau ke beting berdayung juga,
Sepuluh kali kita berbudi,
Kalau miskin terbuang juga.

Sembah salam ampun maaf,
-mizzeta, 170614, 1634-