Kelebihan memiliki anak-anak perempuan
Assalamualaikum,
Masih ingat lagi tentang masyarakat Jahiliyah yang kita belajar satu
ketika dahulu? Dalam masyarakat Jahiliyah, memperoleh anak perempuan
merupakan satu musibah kepada keluarga tersebut. Apa tidaknya, pada
waktu itu anak perempuan dianggap hanya mendatangkan sial dan memalukan
keluarga. Lantaran itu, ramai ibu bapa yang merasa terhina dengan
anugerah ini, bahkan sehingga ada yang sanggup membunuh dan menanam
hidup-hidup demi menjaga maruah keluarga.
Malangnya, pemikiran orang-orang zaman sekarang pun masih sama
seperti mereka di zaman Jahiliyah dahulu. Pernah saya mendengar
perbualan seorang bapa bertanyakan jantina bayi yang baru dilahirkan
oleh isterinya di wad bersalin. Setelah dimaklumkan nurse bertugas yang
si bapa dikurniakan bayi perempuan, saya terdengar nada suaranya sedikit
mengeluh, “Oh.. perempuan lagi…” Saya yang mendengar, sedikit terkilan,
seolah-olah si bapa kecewa dengan anugerah Allah SWT.
Saya juga pernah menonton video kelahiran seorang bayi perempuan yang
rupa parasnya menyerupai ular. Kononnya ibu yang melahirkan bayi
tersebut amat-amat berkehendakkan bayi lelaki kerana telah memiliki 2-3
orang anak perempuan sebelum kelahiran anak yang ini. Semasa membuat
pemeriksaan kandungan, doktor telah memaklumkan yang si ibu
mengandungkan bayi perempuan dan berita itu sangat mengecewakannya. Bila
rakan-rakan bertanya jantina bayi yang dikandung, si ibu terus menjawab
yang dia sedang mengandungkan anak ular. Subhanallah! Bila tiba saat
kelahiran, memang si ibu telah melahirkan seorang bayi perempuan yang
menyerupai ular. Saya kurrang pasti kesahihan berita ini, tetapi menurut
video yang ditonton, peristiwa ini terjadi di negara Timur Tengah.
Pada zaman ini, menjaga anak perempuan terutamanya pada peringkat
usia remaja merupakan satu cabaran yang besar buat ibu bapa. Banyak
gejala negatif yang melanda kehidupan anak gadis masa kini, menjadikan
kita semakin bimbang dengan keselamatan diri mereka. Apakah benar
kehadiran dan kurniaan ini menjadi bebanan pada ibu bapa? Atau cabaran
kepada ibu dan bapanya?
Satu ketika dahulu, kita sukar melihat anak-anak gadis berjalan-jalan
di pekan kecil atau pun di kota besar. Saya masih ingat, ayah sering
menemani ke mana saja saya pergi, boleh dikatakan ayahlah ‘body guard’
dan ayah jugalah ‘chauffeur’ ke mana saja saya pergi. Memang agak sukar
kita terserempak remaja perempuan berpimpinan tangan di bandar-bandar,
di pusat membeli belah atau di mana sahaja. Kini, yang bertudung tanpa
segan silu mempersendakan tuntutan agama sekali gus mempersendakan
perintah Allah Taala. Yang tidak bertudung pula, sama sahaja… tiada
yang kurang dan tiada yang lebih. Berani lakukan apa sahaja demi
mengikut jiwa remajanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang memiliki
tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan
kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga
dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Juga untuk seorang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara
saudara perempuan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada bagi
sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,
lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan
memasukkan mereka ke syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang
maksudnya, “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan
memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya
dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api
neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat
istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan
mereka. Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua
ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran
anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu
bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka
disebabkan oleh mereka.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud,
“Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung
dengan kaum wanita.” Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang
bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan
isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi
perintah Allah SWT.
Pernahkah anda mendengar, kata orang tua, ‘menjaga lembu sekandang
adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’? Kemungkinan
ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga
anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum
semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya
bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi
penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan
hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah
dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik
keluarga dan agama.
Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik
akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati
bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka
menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di
akhirat kelak.
Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu
mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak
perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika
dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka,
Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.
Nah! Masih tidak berbangga memiliki anak-anak perempuan?
Renung-renungkan!
9 Comments
saya ni beragan abam kie, sekiranya dikurniakan nak pertama biarlah dapat anak puang...comei :D
ReplyDeleteAdik-beradik kakak 8 org (1 lelaki 7 perempuan)
ReplyDeleteKakak dikurniakan 3 anak perempuan (teringin juga nak anak lelaki hihi...)
Tapi alhamdulillah semoga Allah beri kami anak-anak yg solehah. Anak ikut acuan kita mendidik kalau baik, baiklah dapatnya tak kira lelaki atau perempuan.
comei bdkbdk nye....rietta suka tgk baju bdk pmpn...seme comei....
ReplyDeleteAda sebab kenapa Allah kurniakan anak perempuan...ada alasan juga kalau Allah beri anak lelaki..dan Rasulullah SAW sendiri...anak-anak lelaki baginda meninggal ketika masih kecil lagi..yang penting sebagai ibu bapa galas tanggungjawab mendidim anak itu sebaiknya..
ReplyDeleteKali ni harapnya lea dapat anak pompuammmm.. hiks..
ReplyDeleteWP sama macam Kak Zalie.
ReplyDeleteAnak semua perempuan.
Pn isteri yang untung sebab ramai pembantu.
WP ke kebun sorang2.
comel budak-budak ini...
ReplyDeletebertuah abah saya dapat anak perempuan macam saya hehe
ReplyDeletealhamdulillah saya dikurniakan anak perempuan 3 orang dan ank lelaki sorang..
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.