Pada hari ketiga lawatan ke Lembah Klang, kami sekeluarga merancang mandi kolam di Kompleks Kejiranan Presint 16. Kami keluar seawal jam 10 pagi sebab perlu mengambil dua orang anak yang pergi bermalam di rumah ibu saudara mereka di Rimbayu, Teluk Panglima Garang. Bergantung harap kpd Waze kami selamat sampai ke kediaman berkenaan. Selepas itu barulah kami berpatah balik ke Putrajaya. 


Sesampai kami di Kompleks Kejiranan Presint 16 pada jam 12 tengahari, baru kami sedar kolam renang masih ditutup dan hanya akan dibuka pada jam 1 pm. Maka terpaksalah kami menjadi penunggu sementara kolam itu dibuka. Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan.


Inilah foto anak bongsu Abam Kie yang begitu teruja untuk mandi kolam. Selepas mandi kolam kami menunaikan solat Zuhur dan makan tengahari di medan selera kompleks berkenaan. Tiket masuk RM2 je tapi pengunjung diwajibkan memakai baju renang yang disewakan. Jadi kena bayar dalam RM10 seorang jugak la! 


Selesai makan, kami bergerak ke IOI City Mall Putrajaya untuk shopping. Tapi bila masuk ke sana tengok mall yg dipenuhi dengan manusia dan gerai serta kedai yang banyak menyebabkan kami membatalkan niat itu. Cukuplah membeli sedikit barang keperluan harian di Tesco dan donut lazat di Dunkin' Donuts. Kebetulan hari sudah lewat petang dan abam kie dan isteri sudah keletihan dan mengantuk jadi baguslah kami beredar dengan segera. Kalau diikutkan anak2 ni mahu je meronda dalam mall tu. 


Pada jam 4.35 pagi Jumaat, 8 Feb 2019, kami sekeluarga bertolak pulang ke Tanah Merah. Dibantu dengan Waze dan bebelan isteri akhirnya abam kie berjaya memandu keluar dari Lembah Klang. Kami sampai di Petronas Bentong pada waktu Subuh. Usai solat Subuh kami meneruskan perjalanan ke Raub, Kuala Lipis dan Gua Musang. Kami bersarapan pagi di Mentara iaitu sebuah kampung sebelum bandar Gua Musang. Perjalanan diteruskan ke Tanah Merah dan kami selamat sampai pada jam 12.15 tengahari. Terasa memang letih, mengantuk dan kejang paha tp solat Jumaat tetap ditunaikan. Selepas solat, abam kie makan tengahari dan tidur. Pada jam 6.30 barulah bangun untuk solat Asar.

Demikian tamatnya catitan pengembaraan Abam Kie sekeluarga ke Lembah Klang pada cuti Tahun Baharu Cina tempohari. Terima kasih kerana sudi membaca coretan perjalanan Abam Kie yang tak sepertinya ini.