Bayangkan korang tengah seronok memandu atas jalan raya nak jumpa kawan atau yang tersayang di kampung, tiba-tiba kereta yang korang pandu mengalami kerosakan. Tekan minyak tak boleh, tiba-tiba keluar asap dari bonet, kereta hilang kawalan takpun tiba-tiba je kereta slow… Aduh, apa nak buat ni?

Rileks, tenang dan jangan panik. Ikut langkah yang Abam Kie kongsikan di bawah ini menurut SafetyServe.com, sebuah laman web yang menyediakan program latihan keselamatan berasaskan internet oleh The National Safety Council Official Online Training Site. Paling penting, jangan buat yang nombor 4 tu tau!

1. Berhenti di bahu jalan


Perkara paling pertama korang kena buat adalah jangan terus tekan pedal minyak dan brek mengejut. Secara perlahan, cuba ketepikan kenderaan korang ke bahu jalan atau laluan kecemasan.

Sama ada menolak kenderaan atau apa cara sekalipun, jangan tinggalkan kenderaan korang atas jalan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

2. Hidupkan lampu kecemasan


Bila dah selamat alihkan kenderaan ke bahu jalan atau laluan kecemasan, hidupkan lampu kecemasan supaya kereta lain nampak ada kenderaan berhenti dan memerlukan bantuan. Kalau dalam keadaan gelap, hidupkan sekali lampu dalam kabin.

Sekiranya lampu kecemasan tidak berfungsi, cuba gantungkan sesuatu yang mudah dilihat seperti kain putih misalnya pada antena kereta atau mana-mana bahagian yang senang dikesan. Barulah pemandu lain nampak ada kereta rosak di tepi jalan.

3. Letak segi tiga amaran kecemasan


Satu lagi langkah perlu korang buat supaya pemandu lain perasan ada kereta rosak di bahu jalan, letakkan segi tiga amaran kira-kira 45 meter (147 kaki) dari belakang kenderaan yang rosak atau mengalami kemalangan.

Di Malaysia, kebanyakan kereta baru sudah disertakan dengan segi tiga amaran sebagai kit kecemasan. Tapi, kalau kereta korang jenis lama atau memang tiada segi tiga amaran, korang boleh beli di mana-mana kedai aksesori kereta atau di pusat servis pengeluar kenderaan.

Ia penting sekiranya korang memerlukannya ketika waktu kecemasan seperti ini!

4. Hubungi bantuan tetapi jangan sesekali tahan kereta lain untuk pertolongan


Ambil handphone dan mula hubungi suami, abang, ayah atau rakan terdekat tentang situasi yang berlaku. Kalau korang ada kenal mana-mana mekanik yang biasa servis kereta korang, cuba tanya mereka apa yang perlu dilakukan.

Jika masalah kereta korang boleh diselesaikan sendiri, legalah. Sekiranya memerlukan bantuan kereta tunda untuk tindakan selanjutnya, hubungi penyedia insurans. Kebiasaannya, insurans kenderaan akan disertakan sekali khidmat kereta tunda 24 jam.


Kalau korang berada di lebuh raya, ketahuilah bahawa korang layak mendapat khidmat kereta tunda secara percuma daripada syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUSRONDA dan penyedia insurans seperti Chubb. Mereka akan menunda kereta korang dari lokasi kejadian sehingga ke hentian Rehat dan Rawat, rumah, bengkel pilihan, plaza tol atau bengkel berhampiran.

Awas, jangan terpedaya dengan kereta tunda ‘tidak diundang’ dibimbangi korang akan membayar macam-macam bil kelak. Selain itu, jangan sesekali menahan kereta lain untuk pertolongan. Tak semua orang ada niat baik tau!

5. Tunggu bantuan dengan tenang di luar kenderaan


Selesai menghubungi bantuan, korang tunggu je bantuan sampai di luar kenderaan. Jangan tunggu di dalam kenderaan pula takut ada pemandu tak perasan ada kereta berhenti di bahu jalan lalu kereta korang dilanggar dari belakang. Bahaya tu!

Sebaiknya, tunggu di luar kenderaan dengan tenang. Kalau korang ada bawa anak kecil, tenangkan mereka dan jangan keruhkan keadaan dengan panik berterusan. Paling penting, jangan tinggal anak dalam kenderaan sambil mencari bantuan tau, lagi bahaya!

Sumber: www.ohbulan.com