Elak situasi panik jika kenderaan meragam

PERNAH tak terfikir mengenai barang atau peralatan yang wajib ada di dalam kereta sebelum ke mana-mana? Ketahuilah, barang-barang wajib itu akan menjadi penyelamat andai berlaku kecemasan.

Apatah lagi masing-masing masih dalam mood berhari raya, bukan? Jadi, aspek keselamatan kenderaan jangan dilupakan.

Menurut pemilik bengkel Anak Abah di Kangar, Perlis, lqram Fiqrie Ismail, keperluan itu sering dianggap remeh. Pun begitu, sekiranya berlaku kecemasan kepada pemilik kenderaan, pastinya ia sangat berguna.

"Tidak kiralah lelaki atau perempuan, keperluan barang yang mesti ada di dalam kereta masing-masing ini sangat penting.

"Sentiasa menempatkannya dalam kenderaan dapat mengurangkan risiko dan membantu jika berlaku apa-apa kemungkinan yang tidak ingini.

"Malangnya, ramai pemandu yang kurang peduli tentang peralatan yang wajib ada dalam kereta ini.

"Apabila sudah terjadi, barulah termenung dan ternganga sebab tak tahu nak buat apa," katanya.

Sebagai pemandu berhemah, menurutnya, seseorang perlu mempersiapkan diri sebaiknya jika tidak mahu berdepan sebarang kejadian yang tidak diingini.

1. Kit dan beg kecemasan


Kit kecemasan adalah antara barangan keperluan yang penting kerana lazimnya malang tidak berbau. Tidak perlulah terlalu lengkap dengan kit kecemasan yang mahal-mahal, cukup sekadar mempunyai alatan dan ubat-ubatan yang asas.

Antaranya, minyak angin, plaster pembalut luka dan panadol.

Bagi beg kecemasan pula, pastikan ia dilengkapi dengan barangan keperluan yang berisi peralatan yang boleh digunakan jika berlaku kecemasan.

Ini termasuklah kain lap, pisau poket, plastik, sarung tangan, lampu suluh dan bateri (seeloknya diasingkan), tukul cermin dan set pemutar skru.

2. Air minuman


Selain menjadi bekalan minuman kepada pemandu dan penumpang, air minuman (dicadangkan botol besar) juga perlu ada sebelum memulakan perjalanan.

Itu kerana, air minuman tersebut boleh digunakan untuk membasuh tangan atau kekotoran. Paling penting, boleh menambah air ke dalam radiator jika perlu.

Oleh sebab itu, air minuman juga adalah antara barang wajib yang perlu ada di dalam kenderaan sepanjang perjalanan.

3. Segi tiga kecemasan atau kon keselamatan


Jangan sesekali memandang mudah terhadap peralatan segi tiga kecemasan atau kon keselamatan ya wahai pemilik kenderaan..

Segi tiga kecemasan tersebut sangat penting apabila kenderaan rosak lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Lebih penting, pastikan segi tiga kecemasan diletakkan dalam jarak 3 meter hingga 6 meter ke belakang kenderaan yang rosak.

4. Kabel pelompat bateri


Kegunaan jumper atau kabel pelompat bateri adalah untuk menghidupkan kereta yang mengalami masalah bateri.

la boleh dibeli di kedai aksesori kereta dan stesen minyak berdekatan anda pada harga kira-kira RM50.

Ada juga pelompat bateri jenis mudah alih di pasaran. la boleh menghidupkan enjin hanya menggunakan bank kuasa (power bank) khás tanpa bantuan kenderaan lain. la dijual kira-kira RM120 ke atas.

5. Tayar ganti dan peralatan


Kebiasaannya pemilik hanya kerap memeriksa kandungan angin tayar simpanan sama ada mencukupi mahupun sebaliknya.

Namun demikian, ramai yang terleka dalam memastikan kondisi tayar ganti tersebut. Pastikan sebelum memulakan perjalanan, tayar ganti berkenaan berada dalam keadaan elok dan boleh digunakan jika berlaku sebarang kecemasan.

Selain itu, pastikan peralatan untuk menukar tayar seperti bicu (jack) dan soket perengkuh (wrench) atau sepana roda turut dibawa bersama. Jika semuanya lengkap, proses mengganti tayar akan menjadi lebih mudah.