Pengaruh akhbar dan media sosial perlu seimbang
Di kebanyakan institusi pengajian tinggi hari ini, khasnya di universiti awam, pelajar didapati kurang berminat membaca akhbar. Kebanyakan mereka lebih selesa mendapat maklumat atau mengikuti perkembangan semasa melalui media baharu. Mereka mengiktiraf media baharu sebagai gaya hidup moden.
Mereka akui lebih mudah dapat maklumat melalui internet sama ada menerusi komputer atau telefon pintar. Mereka tidak perlu keluar membeli akhbar yang dianggap ketinggalan zaman. Bagi golongan ini akhbar tidak memenuhi cita rasa mereka.
Pelajar menjadikan media baharu cara membantu mereka dalam pelajaran. Di luar waktu kuliah, mereka menghadap komputer sama ada membaca jurnal, tesis, buku elektronik dan sebagainya. Ia memudahkan proses pembelajaran mereka yang bukan sahaja kurang membaca akhbar, malah jika tidak dikawal boleh melarat kepada buku. Mereka lebih berpandukan kepada maklumat dalam 'pustaka' di alam maya. Walaupun itu bukan suatu kesalahan, meninggalkan amalan membaca buku dan akhbar, bukanlah ciri pelajar yang progresif.
Pelajar sewajarnya menjadikan buku sebagai gedung ilmu manakala maklumat dan berita di akhbar sebagai wadah mengikuti perkembangan semasa, walaupun zaman mereka adalah era media baharu. Malangnya, akhbar bukanlah sumber maklumat penting bagi pelajar hari ini. Pelajar hanya baca akhbar secara kebetulan jika berada di sesuatu tempat yang surat khabar ada atas meja. Mereka jarang membeli akhbar, melainkan ada sesuatu maklumat mereka perlukan yang tidak ada di media sosial. Mereka juga menjadikan akhbar atau media arus perdana termasuk radio dan televisyen untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita atau maklumat.
Pengaruh media baharu
Bila ditanya adakah mereka membaca akhbar cetak, tanpa rasa bersalah mereka kata 'tidak' atau 'kadang-kadang'. Ia adalah realiti hari ini dan mereka tidak segan silu mengakuinya. Ditanya bagaimana mereka dapat berita atau maklumat, dengan tangkas menjawab mereka mengikuti setiap perkembangan semasa melalui media baharu sama ada portal berita, blog, Facebook dan sebagainya. Mereka juga membaca berita atas talian dari syarikat media arus perdana.
Oleh itu, tidak ada sebab mereka perlu baca akhbar. Apa juga alasannya, setiap pelajar tanpa mengira jurusan sama ada sains atau sastera, sains sosial, ekonomi, sains politik, pengajian antarabangsa, sejarah dan sebagainya, sepatutnya diwajib menjadikan akhbar sebagai sumber maklumat utama sama ada untuk tujuan pelajaran atau menambah ilmu. Mereka perlu diberitahu maklumat atas talian sepatutnya maklumat tambahan, bukan mutlak. Maklumat dan berita dalam portal tidak boleh disamakan dengan berita akhbar. Pengendali berita atas talian memilih menyiarkan berita sensasi untuk menarik pembaca. Paling penting, maklumat daripada akhbar mempunyai ciri-ciri kewibawaan berbanding berita yang disiarkan sewenang-wenangnya di portal berita atau laman berita dikendalikan oleh mereka yang tidak dikenali.
Di pusat pengajian media atau komunikasi pun, semakin kurang pelajar membuat kajian mengenai akhbar. Dari segi peratusan, ramai memilih untuk mengkaji berita atau maklumat di alam maya, memberi gambaran pelajar mengasingkan diri daripada akhbar dan bahan bercetak. Keadaan seperti ini perlu dilihat dengan serius walaupun kerajaan mengiktiraf kebebasan mendapatkan maklumat, kebebasan akhbar dan sebagainya. Pelajar perlu faham, membaca akhbar membolehkan mereka mendapatkan suatu perspektif berhubung sesuatu isu. Perspektif di media baharu berbeza dengan perspektif yang dipaparkan di akhbar.
Keadaan seperti ini boleh membentuk persepsi yang salah. Persembahan dan penyampaian berita antara akhbar dan media atas talian juga berbeza. Berita yang dianggap penting bagi akhbar tidak semestinya menjadi berita pilihan di media atas talian dan begitu juga sebaliknya. Fenomena ini adalah satu perkembangan tidak sihat bagi sebuah negara muda seperti Malaysia. Sikap pelajar yang lebih gemar membaca berita di atas talian berpunca daripada pelbagai sebab. Mereka mungkin didedahkan kepada media baharu berasaskan kepada kemajuan sekeliling. Masing-masing ada komputer riba atau telefon pintar yang membolehkan mereka mengakses setiap maklumat dalam internet. Untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat, universiti pula menyediakan kemudahan WiFi atau unifi..
Pengamal media tidak boleh biarkan perkembangan seperti ini berterusan tanpa melakukan sesuatu tindakan untuk menggalakkan pelajar membaca akhbar. Pelajar seharusnya diberitahu mereka perlu baca akhbar atas alasan konkrit. Pengamal media seharusnya masuk ke setiap universiti dan 'berkempen' supaya pelajar membaca akhbar. Jika tidak, akhbar akan kehilangan sengat dan pembacanya kian berkurangan.
Sumber: Mior Kamarul Shahid
Emel: miorkamal@gmail.com
14 Comments
Betul tu, student saya pun kata mereka baca akhbar online, ada yang kata tak baca akhbar terus pun ada
ReplyDeleteSangat susah sekarang nak tengok pelajar atau golongan muda membaca akhbar atau surat khabar ni Cikgu AK.
ReplyDeleteBiasanya golongan muda susah nak jumpa yang suka baca surat khabar. Diaorang lebih suka baca berita online :)
ReplyDeletesetuju tu, mereka sangat terbiasa dengan media sosial, zaman dah berubah kan tapi bagi saya memang masih perlu lagi akhbar atau buku di jadikan rujukan kerana lebih lengkap sumbernya
ReplyDeletebetul tu..saya pun dah bertahun tk beli surat khabar
ReplyDeleteMedia social skrg lebih laju dari akhbar...harap muncul semula kegemilangan akhbar namun mungkinkah
ReplyDeleteya un sendiri selesa baca di online selepas encari tesis , baca jurnal dll..online sangat memudahkan.
ReplyDeleteSaya juga sependapat, para siswa wajib didorong untuk belajar dan nendapatkan informasi dari surat kabar.
ReplyDeleteWak pun dah lama tak beli akhbar.
ReplyDeleteSampai nak cari kertas surat khabar lama kat rumah pun takde
aduh, pedih gak tapi betul. Lame betul x bace surat khabar...
ReplyDeleteItulah zaman moden, tidak hairanlah kalau 5 atau 10 tahun akan datang, surat akhbar sudah tiada.
ReplyDeletewww.oohsenyum.com
saya merupakan salah seorang drpd mereka yang sudah tidak membaca surat khabar. kebanyakan berita saya dapat melalui laman berita online.
ReplyDeletekalau tengok trend sekarang, bahan cetakan untuk membaca makin kurang. novel dan sebagainya, sudah beralih ke arah online seperti e-novel, e-book
Saya masih 'old school'. Saya tetap baca surat khabar fizikal. Setiap hari mesti belek surat khabar walaupun ada surat khabar online dan media sosial yang lain sebagai tempat rujukan.
ReplyDeleteKena tekankan juga penggunaan bahan bacaan fizikal ini.. Kalau tak memang ke alam maya jelah mereka mendapatkan maklumat.. huhuhu..
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.