Mentaliti hanya mahu disuap begini tidak sepatutnya wujud lagi.

Pendidikan anak-anak ni tanggungjawab ibubapa. Pendidikan di negara kita hampir percuma 100%.

Buku teks semua dapat percuma, peperiksaan tak perlu berbayar, kertas soalan free, tiada yuran bulanan bahkan ada bantuan RMT dan bantuan persekolahan RM100 lagi untuk keluarga yang kurang mampu.

Yang ada cuma sumbangan PIBG dan biasanya ada bayaran tambahan untuk murid di tahun peperiksaan sahaja bagi membiayai program luar yang memerlukan kos kewangan seperti memanggil penceramah luar, membeli buku rujukan, buku latihan tambahan, cetakan bahan belajar yang lebih banyak dan sebagainya.

Itu pun ramai yang mengelat dan culas untuk membayar. Ada yang memohon derma dan meminta bantuan NGO yang bayarkan sumbangan PIBG dan bayaran tambahan anak-anak mereka di tahun peperiksaan.

Hal ini aku bincang panjang lebar dengan tokoh aktivis terkenal, Syed Azmi.

Kami sama-sama setuju bahawa kos pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab sepenuhnya ibubapa. Tidak perlu memohon bantuan NGO untuk melunaskan bayaran PIBG RM40 setahun atau bayaran tambahan anak-anak di tahun peperiksaan.

Beliau dan saya sendiri acap kali membantu keluarga kurang mampu membayar bayaran ini, namun apa yang kami lihat ianya hanya membuatkan mereka naik lemak dan melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kami pula.

Sedangkan bayaran tersebut boleh sahaja dibuat secara ansuran, boleh bincang dengan pihak sekolah bayar rm5 sebulan contohnya. Tapi tu lah, selagi ada peluang untuk mengambil kesempatan atas bantuan pihak luar, mereka seboleh mungkin nak bolot semua.

Lebih menyedihkan, ada keluarga yang memohon kami (NGO) melangsaikan bayaran sumbangan PIBG dan seumpamanya ini mampu pula beli rokok dan lepak di kedai kopi.

Rokok sekotak dah berapa ringgit? Paling kurang RM7. Stok rokok tak pernah putus, tapi bila bab bayaran persekolahan anak-anak, minta pihak luar pula langsaikan.

Dimana tanggungjawab kita sebagai ibubapa?

Dan semalam, agak tular juga komen dari seorang parent ini.

Tanpa rasa bersalah, tanpa rasa malu dia nak melepaskan tanggungjawab dia terhadap keselamatan anak-anak sendiri kepada pihak sekolah dan guru-guru pula.

Tidak cukup buku tulis cikgu-cikgu tolong belikan, pensel pemadam yang selalu hilang pun cikgu belikan baru lagi tanpa bersungut. Keselesaan anak-anak mereka di dalam kelas banyaknya modal keluar dari poket guru-guru untuk menghias kelas, pasang langsir, pasang alas meja dan sebagainya.

Kali ini, facemask anak pun dia suruh cikgu-cikgu beli dan sediakan juga.

Bagaimana kita nak maju jika mentaliti seperti ini masih berluasa?

Menuduh para guru kedekut sedangkan jelas terpapar dia cuba melepaskan tanggungjawab kepada orang lain.

Kita dah di tahun 2020 dah pun kawan. Zaman serba moden dan maju, namun jika mentaliti masih ditakuk lama, tidak hairanlah jika hidup mereka terus susah dan sukar keluar dari jurang kemiskinan.

Mahu kenyang, tapi berharap orang sediakan makanan dan suap sentiasa. Senangnya hidup.

Ubah mentaliti, tanam rasa tanggungjawab sebagai ibubapa dan sokonglah pendidikan anak-anak sendiri.

#MFS
.