KENAIKAN
harga bagi sesetengah barangan keperluan harian memerlukan isi rumah merancang perbelanjaan secara lebih bijak dan berhemah.

Situasi ini mungkin tidak begitu memberi masalah kepada keluarga yang sedar kehidupan mewah bukan janji kepada kebahagiaan jadi kehidupan dijalani secara sederhana tanpa pembaziran, malah sikap berjimat dijadikan pegangan dalam keluarga terbabit.

Namun ia juga bukan semudah kata Hakikatnya pada zaman sekarang segala keperluan kewangan untuk makanan, pakaian, barangan rumah pendidikan anak dan sebagainya begitu mudah membuatkan akaun bank kita kosong dalam sekelip mata sekali gus memben tekanan kepada pencari nafkah.

Langkah mengurangkan ketegangan akaun bank sudah tentu mampu membantu melegakan tekanan dihadapi.

Berikut adalah panduan mudah bagi penjimatan wang yang boleh dilakukan untuk meringankan beban kewangan bulanan anda.

1. Merancang Makanan Anda

Kunjungan spontan ke restoran makanan segera untuk makan malam akan memberi kesan walaupun bagi keluarga yang paling berjimat. Berbanding menikmati hidangan sihat pada kos RM4 seorang, makan malam di restoran makanan segera bukan saja mempunyai kos yang lebih tinggi malah meningkatkan pengambilan kalori.

2. Bijak Berbelanja

Kita tidak perlu menjadi pengumpul kupon tegar untuk menjimatkan wang pada barangan runcit. Sebaliknya, strategi bijak boleh melegakan tekanan kewangan antaranya dengan melakukan pembelian semua barangan keperluan pada satu masa berbanding berulang ke kedai mendapatkan keperluan pada waktu yang merugikan petrol dan masa. Kita juga boleh mengelak daripada membeli-belah bersama anak yang mungkin lebih menyukarkan kita untuk kekal fokus pada belanjawan sebaliknya membuat pembelian spontan terutamanya apabila didesak anak.

3. Mengatur Percutian 

Daripada menggunakan wang pada perjalanan ke luar negara, lebih baik kita lihat terlebih dulu lokasi percutian yang masih belum diterokai di sekitar tempat sendiri. Banyak bandar berdekatan mempunyai pelbagai aktiviti menarik seperti tempat bersejarah, lokasi berkhemah, laluan mendaki malah pawagam sekalipun mampu menjadikan hari cuti menarik.

4. Melabur Dalam Perkara Yang Boleh Diguna Semula 

Barangan pakai buang biasanya lebih murah namun ia menjadi mahal apabila kita perlu membelinya secara berulang kali. Tuala kertas misalnya, kosnya mencecah beberapa ringgit untuk satu kotak sedangkan harga yang sama kita boleh membeli beberapa helai kain yang boleh dibasuh untuk dipakai berulang kali. Selain itu, daripada membeli air mineral dalam botol plastik, apa kata kita masak sendiri untuk diminum seisi keluarga.

5. Beli Barangan Terpakai

Membeli barangan yang sudah digunakan orang lain mungkin mengambil sedikit penyesuaian tapi amat berguna dalam usaha penjimatan. Sebagai contoh, buku yang dijual di kedai buku gergasi menawarkan harga cukup tinggi sedangkan ia boleh diperoleh pada separuh harga di kedai buku tempatan yang menjual buku terpakai. Barang permainan juga adalah satu lagi barangan yang boleh kita jimatkan. Mempunyai anak yang masih kecil membuatkan kita ingin membeli permainan untuk mereka namun semua ini bukan saja akan rosak malah tidak akan digunakan lagi apabila kanak-kanak sudah jemu dengannya. Langkah terbaik adalah dengan membelinya di jualan garaj atau kedai jimat yang jauh lebih murah.

6. Berhibur di Rumah 

Keluar ke pawagam atau bermain bowling untuk mencari hiburan akan memberi kesan kepada bajet anda. Jika kita ingin juga keluar, pilihlah lokasi yang mengelakkan kita untuk melakukan pembaziran spontan. Taman di kawasan perumahan mungkin idea baik untuk kita beriadah bersama keluarga dan pada masa sama menjauhkan kita daripada kedai yang sedang menanti pelanggannya.

7. Pergi Ke Perpustakaan 

Pergi ke perpustakaan awam adalah adalah salah satu aktiviti yang murah. la ibarat aktiviti sempurna yang juga membolehkan kita membawa pulang ilmu serta aktiviti membaca buku sepanjang minggu. Walaupun ada caj tertentu seperti yuran keahlian, ia sangat minimum dan yang pasti bukan pembaziran.

8. Jimat Tenaga 

Penjimatan tenaga bukan perkara baru yang kita dengar. la sentiasa digalakkan ke arah usaha penjimatan. Cukup mudah untuk menyempurnakan aspek ini. Memadamkan lampu dan mengurangkan penggunaan penyaman udara boleh membantu mengurangkan kos bil utiliti. Perkara ini juga perlu diajar kepada anak supaya ia ditekan sehingga mereka dewasa. Alah bisa tegal biasa!

Berjimat dengan keluarga tidak memerlukan langkah drastik. Sebaliknya perkara yang kecil boleh membawa perbezaan besar untuk keuntungan kita. Ia mungkin mengambil masa untuk kita biasakan diri tetapi disiplin tinggi mampu mendorong seluruh ahli keluarga kita untuk menyokong usaha penjimatan wang ini menjadikan hal menguruskan kewangan lebih mudah.