Assalamualaikum. Pada hari ini Abam Kie ingin berkongsi satu artikel tentang situasi orang yang tamak dalam mengambil hak orang lain. Sila baca dan ambik pengajaran, ye? Terima kasih.
 
Di tandas KLIA.
 
Saya lihat seorang wanita menarik dan menggulung tisu tandas banyak-banyak lalu disumbatkan ke dalam beg. Bukan sehelai dua tapi lebih separuh daripada gulungan tisu yang besar itu dia ambil.

Di pejabat.
 
Kata kawan saya Milo yang baru ditop up semalam di pantry dah tinggal sikit. Ada staff sumbat milo itu ke dalam botol airnya untuk dibawa balik. Tidak cukup dengan Milo, susu pekat dan gula pun di tuang siap-siap ke dalam botol air tersebut. Katanya jimat belanja jika buat begitu. (Minuman 3 in 1 sudah lama boss tidak mahu beli kerana tabiat bawa balik juga)

Musim agihan daging korban.
 
Sebelum sistem kupon diperkenalkan, orang yang sama berkali-kali ulang ambil daging sehingga tidak cukup untuk orang belakang. Belum lagi dikira AJK korban yang sorok daging dan sebagainya.

Dalam majlis kenduri.
 
Tetamu masih ramai. Majlis belum berakhir. Tetapi dia sudah sibuk nak bungkus lauk-pauk untuk dibawa pulang kepada anak cucu.

Di pusat bantuan.
 
Semua dia nak. Siapa sahaja yang bagi, dia terpa walaupun stok di rumah sudah tak habis makan. Zikir di mulut dia tetap susah dan tidak ada siapa yang bantu.

Musim rewang kenduri.
 
Semua dia nak angkut bawa balik. Bawang, halia, rempah, beras dan macam-macam lagi. Semua tu lebihan katanya, sedangkan tuan rumah tak pelawa pun.

Jom muhasabah diri dan lakukan perubahan dalam diri kita!
 
Sudah dua tahun kita dididik di sekolah Covid. Semoga sifat tamak dan pentingkan diri seperti di atas dapat kita kikis sikit demi sedikit.

Jika kita mampu, kita kena sedar dalam mampu itu ada hak orang lain padanya. Jika kita tidak mampu juga kita kena sedar, dalam serba kekurangan itu tetap ada hak orang lain yang kita tak boleh langkau sesuka hati.

Teringat saya ketika melancong ke Korea. Dari jauh saya lihat ada seseorang sedang mengagihkan roti kepada tukang sapu dan gelandangan yang sedang mengumpul kotak. Sebaik menyedari keberadaan saya, gelandangan itu datang lalu memberikan sebiji roti yang diterimanya kepada saya.

Saya menolak. Tetapi dia memaksa juga untuk saya mengambilnya. Dia menunjukkan plastik yang sedang dipegangnya. Walaupun saya tidak faham bahasa pertuturannya, tetapi saya mengerti dia masih ada dua biji roti lagi. Saya ambil roti itu dan sampai di Malaysia baru saya makan roti tersebut.

Di Madinah, saya lihat seorang lelaki daif yang duduk di kaki lima bersama bebera orang yang lain diberikan 4 bungkus makanan. Tiba-tiba lelaki itu bangun dan menghampiri saya. Beliau menghulurkan 2 bungkus kepada saya. Saya menolak. Beliau memaksa saya untuk mengambilnya. Akhirnya saya ambil. Hati saya benar-benar tersentuh. Dalam perjalanan pulang ke hotel, saya sedekahkan makanan itu kepada insan lain pula.

Ketika memasuki sebuah tandas awam di UK, saya terkejut kerana tandas tersebut menyediakan tuala wanita secara percuma. Tekan butang, dan ambillah berapa keping yang diperlukan. Saya terfikir jika di Malaysia mungkin kotak tuala wanita itu juga telah lenyap.

Di Australia juga saya menjadi tersentak. Saya lihat banyak taman rekreasi awam di sana menyediakan dapur bbq elektrik, tisu, plastik sampah dan plastik makanan. Semuanya tersusun kemas tanpa dirosakkan. Sesiapa sahaja boleh ambil dan guna. Tetapi masing-masing hanya mengambil dan guna sekadar perlu.

Hebat kan? Semoga dengan coretan saya ini dapat menyuntik semangat untuk kita menjadi penerima yang hebat kerana kita tahu setakat mana yang kita perlu. Penerima yang hebat akan memotivasikan lebih ramai pemberi yang hebat juga, insyaallah.

Jom kita jadi kita yang baru. Kita ada kita.