Mulakan pembelajaran dalam talian bukan kerana terpaksa, dipaksa
Pelajar
terutama calon peperiksaan utama perlu dibantu supaya proses pengajaran
dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian menjadi lebih berkesan
terutama pada era pandemik ini.
Pada 15 Julai lalu, Timbalan
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon, melancarkan Program Tuisyen
Online Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Percuma 2021 bagi sekolah menengah
di kawasan Parlimen Tanjung Piai.
Program sebegini membantu
pelajar menjadikan pembelajaran dan ulang kaji bukan sahaja lebih
berkesan, bahkan menyeronokkan. Ia sepatutnya dimanfaat pelajar,
terutama calon peperiksaan demi masa depan.
Keputusan SPM 2020
mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80
berbanding 4.86 (2019). Ia sewajarnya menjadi rangsangan bagi calon
peperiksaan tahun ini, apatah lagi pencapaian SPM 2020 terbaik sejak
2016.
Proses adaptasi sesi PdP dalam talian bukan mudah,
namun tidak mustahil ia akhirnya menjadi trend pembelajaran baharu untuk
pelajar, walaupun selepas cabaran pandemik berakhir.
Justeru,
untuk memudahkan sesi pembelajaran, guru dan pelajar perlu membiasakan
diri dengan penggunaan aplikasi penstriman langsung.
Bagi pelajar
memiliki asas komputer, mereka mungkin lebih cepat memahami. Namun bagi
kurang biasa, ia mungkin mengambil masa untuk memahirkan diri, tetapi
tidaklah sampai tahap mengganggu kelancaran sesi pembelajaran.
Bagi
luar bandar, mungkin kaedah pembelajaran seperti ini tidak begitu
popular. Namun jika dilihat sebenarnya, pembelajaran dalam talian sudah
lama dipraktikkan di Barat. Home learning atau pembelajaran di rumah
bukan sukar buat mereka.
Bagi menjayakan pembelajaran dalam
talian, perisian dan sambungan internet paling penting. Jika sambungan
internet lemah, ia akan menyukarkan pembelajaran dan menyebabkan pelajar
sukar memahami subjek.
Ia cabaran besar khususnya bagi pelajar
kurang berkemampuan. Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi
masalah ini dengan meningkatkan kelajuan internet melalui pemasangan
lebih banyak fiber dan pemberian spektrum kepada syarikat
telekomunikasi.
Di sebalik kesukaran, pengajian dalam talian
sebenarnya banyak kelebihan. Ia melatih pelajar mengurus waktu dengan
berkesan. Apa pelajar harus lakukan adalah merangka jadual waktu harian
dengan membahagikan waktu belajar, menyiapkan tugasan dan aktiviti lain.
Ia dapat membantu memastikan kehidupan lebih teratur dan efisien supaya kehidupan serta emosi pelajar lebih stabil.
Untuk
lebih efisien ketika belajar dalam talian, pelajar seharusnya
menyediakan ruang lebih kondusif dan bijak memilih tempat selesa,
selamat dan tidak mudah diganggu.
Pastikan ruang tidak mengganggu
semangat belajar seperti di atas katil atau bilik gelap kerana ia
mengundang rasa mengantuk atau tertidur sewaktu kelas berlangsung.
Untuk
mengekalkan konsentrasi juga, pelajar perlu mempunyai rehat secukupnya.
Tidur tidak mencukupi boleh memberikan impak besar kepada prestasi
pembelajaran. Waktu rehat cukup meningkatkan daya ingatan dan
menyegarkan pemikiran ketika pembelajaran dalam talian.
Lakukan juga aktiviti ringan seperti senaman supaya kembali aktif ketika belajar dalam talian.
Memandangkan
kaedah pembelajaran ini lebih bebas tanpa guru di hadapan, pelajar
lebih mudah hilang fokus. Jika berterusan, sesetengah pelajar akan mula
bosan dan tidak dapat mengikut rentak pembelajaran, sekali gus perlu
diberi perhatian oleh guru.
Peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan pelajar mampu melakukan tugasan dalam talian secara kendiri.
Ibu
bapa perlu membantu dan memantau aktiviti mereka. Ia cabaran baharu
kepada ibu bapa dalam mewujudkan suasana pembelajaran di rumah.
Apa
pun, berfikiran positif boleh memberikan impak baik sekiranya pelajar
dalam keadaan tertekan. Elak daripada memikirkan perkara negatif dan
banyakkan berfikir positif untuk berjaya dalam peperiksaan nanti.
Ingatlah,
setiap perkara berlaku ada hikmahnya. Jadi mulakan hari dengan fikiran
positif supaya dapat memberi semangat untuk memulakan pembelajaran dalam
talian dengan rasa gembira, bukan kerana terpaksa dan dipaksa.
Sumber: Dr Wee Jeck Seng (Ahli Parlimen Tanjung Piai, Johor)
6 Comments
Betul... elakkan negatif... Nanti semua tak jadi
ReplyDeleteAda guru di depan camera pun Kadang2 boleh "off" gak budak2 ni.
ReplyDeletesusah nak hadam pelajaran jika terpaksa..tekanan akan berlaku, bagi pelajar yang ringan ja hati nak belajar, mereka ni lah biasa ke hadapan..
ReplyDeletePerlukan disiplin. Sesuai pelajar 12 tahun ke atas.
ReplyDeletePembelajaran bersemuka juga yang lebih afdal
ReplyDeletebanyak cabaran PdP secara atas talian ni
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.