Hari itu saya pergi ke CDM. Maklumlah, saya manusia dari zaman purba, tak pandai transfer2 online ni..😅.

Semasa saya masuk, ada 2 barisan di CDM. Kedua2nya orang berbaris panjang. Saya ambil barisan yang jauh daripada pintu. Ada 6 orang di hadapan saya. Di barisan sebelah pun ada 6 orang.

Di barisan sebelah, seorang gadis sedang berurusan di mesin. Di barisan saya, seorang lelaki pertengahan umur.

Sebentar kemudian, barisan saya mula berinjak ke hadapan. Barisan sebelah tidak bergerak. Barisan saya bergerak lagi. Tinggal 4 orang di hadapan saya.

Barisan sebelah masih tidak bergerak. Malah semakin panjang. Sudah ramai yang masuk dan terus ke barisan itu kerana dekat pintu.

Barisan itu kelihatan gelisah. Saya intai, gadis itu masih bertransaksi. Dia mengikat wangnya dengan getah gelang. Setiap transaksi satu ikat. Selesai transaksi, diletak getah di tepi. Ketika itu, sudah ada beberapa getah gelang di situ, maknanya dia sudah melakukan BEBERAPA transaksi, sebelum saya beratur lagi!

Barisan saya terus berinjak. Barisan sebelah masih tidak bergerak. Orang2 di belakang gelisah, tapi tiada yang bersuara menegur gadis itu. Orang yang beratur di belakangnya sudah kepenatan. Bersusah payah dia cuba duduk bertinggung. Nampak seolah2 kakinya sakit. Yang di belakang mula tertinjau2, melihat siapa yang dok 'hogging' mesin itu.

Ketika tinggal seorang di hadapan saya, gadis itu masih berurusan. Saya intai skrinnya. Penerima wang adalah sebuah enterprise. Bukan orang perseorangan. Maknanya bukanlah hantar wang kepada mak atau ayah.

Orang yang di belakangnya yang tadi bertinggung sudah duduk bersila di lantai, minum air! Saya bertanya kepada lelaki it,(saja saya kuatkan suara saya)
" Dari tadi tak bergerak ke?"
"Entahlah. Penat dah menunggu ni..."
 
Budak perempuan itu menoleh ke belakang. Tapi melakukan transaksi seterusnya tanpa rasa bersalah.

Saya lihat lengan lelaki itu berparut panjang. Bekas jahitan. Macam masih baharu. Kesian dia, sudahlah sakit, perlu menunggu lama pula.

Saya tegur gadis itu, " Assalamualaikum dik. Lama lagi ke? Kesian orang2 kat belakang dah penat..."
Di sebelahnya ada sekurang2nya 4 resit transaksi.
"Kejap...kejap!" Jawabnya dengan nada irritated.
Amboi...kelas kau dik! Dahla selfish, arrogant pula!
Saya target, jika turn saya sampai dulu, saya akan berikan kepada lelaki yang sudah duduk berkelah di lantai itu.

Akhirnya gadis itu selesai transaksi. Sambil berlalu sempat dia menjeling saya, hohoho. 😅 Orang2 yang berbaris di belakangnya menggeleng kepala.

Sedih. Sungguh sedih.
 
Ketika kita melaung2kan Malaysia prihatin, nampaknya masih ada yang belum bersedia. 😑
 
Apa yang anda lakukan jika anda berdepan dengan manusia yang 'hogging' mesin deposit wang macam gadis yang mementingkan diri sendiri tadi?