KEBANYAKAN orang menganggap bahawa ketuhar gelombang mikro atau microwave hanya dapat digunakan untuk memanaskan makanan.

Tetapi sebenarnya, sebuah microwave mempunyai banyak fungsi lain yang mungkin ramai tidak ketahui.

Berikut adalah lima fungsi lain microwave yang mungkin boleh digunakan selepas ini.

1. Steril sudu dan garfu

Bagi yang mempunyai bayi atau ingin lebih berhati-hati ketika menggunakan sudu dan garfu, microwave sebenarnya dapat membantu mensterilkan alatan itu.

Tetapi sebelum memasukkannya ke dalam microwave, pastikan sudu dan garfu anda diperbuat daripada material atau bahan yang tahan suhu tinggi agar tidak rosak.

Caranya, masukkan sudu dan garfu ke dalam bekas berisi air dan putarkan selama dua minit. Dengan cara ini, ia boleh membunuh bakteria yang mungkin melekat pada alatan itu.

2. Mencairkan makanan beku

Bahan makanan yang disimpan dalam peti sejuk beku memang memerlukan masa agak lama untuk dicairkan tetapi dengan microwave ia boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

3. Melembutkan roti



Bagi yang suka makan roti dan menyimpannya dalam peti sejuk, ia mungkin akan menjadi keras dan tidak sedap dimakan selain rasanya akan berubah.

Apa yang boleh dilakukan adalah bungkus roti dengan tisu dapur yang direnjiskan dengan air, lalu panaskan dalam microwave selama 30 saat. Roti yang keras akan menjadi lembut dan segar.

4. Mengupas buah

Tahukah anda, microwave juga boleh mengupas beberapa jenis buah untuk anda? Buah-buahan seperti labu, sengkuang, epal boleh dikupas dengan mudah dengan memanaskannya dalam suhu rendah selama tiga minit.

Kulitnya akan menjadi lembut yang memudahkan anda mengupas kulitnya tanpa merosakkan isinya.

5. Segarkan makanan 'masuk angin'

Makanan ringan seperti keropok yang terdedah akan menyebabkannya menjadi lemau atau masuk angin. Tetapi dengan memanaskannya dengan microwave selama dua minit dapat mengembalikan tekstur ranggupnya. Jangan lupa cuba!