Ada segelintir ibu bapa suka berbohong tentang maklumat diri. Terutama bila mereka kerja sendiri.

Tempat ruangan pendapatan tu dia letak gaji RM700 - RM1500 sahaja. Maka bila ikut kira-kira, anak dia layak dapat semua bantuan yang ada. RMT, KWAMP, bantuan RM100 setiap anak dan sebagainya. 
 
Tapi bila pergi ke rumah, rupanya ada kereta mewah. Ada pula kereta kedua malah ke tiga. Motor dua tiga biji. Rumah milik sendiri yang agak besar juga. Duit poket anak pun mampu beri hingga RM5 sehari.
 
MasyaAllah. Tidak ada sedikit rasa bersalahkah dalam hati mereka-mereka ini?
Menipu pendapatan untuk sedikit bantuan. Mengambil benda yang bukan hak kita.
Bagaimana status halal haram setiap suap nasi RMT yang anak kau suap itu? Bagaimana status halal haram setiap wang ringgit yang diambil bukan milik kita?
 
Apa kamu masih punya agama?
 
Makan benda yang bukan hak ini memberi kesan. Tidak hairanlah bila belajar anak susah faham. Tidak hairanlah jika hidup tidak berkat walau dikelilingi duit yang banyak. Itu belum dikira pembalasan di hari akhirat.
 
Usah tamak bantuan yang sedikit. Usah gelojoh dengan peluang yang bukan milik kita.
 
Tidak berbaloi hanya kerana sedikit bantuan yang kita perolehi secara haram, kesannya besar pada anak-anak dan keberkatan hidup sepanjang zaman.
Yang bukan rezeki kita, lepaskan. Hak orang lain, pulangkan.
 
Bila Allah dah tetapkan rezeki kita, ikan yang dikail terlepas pun lompat naik ke darat dengan sendiri.
 
Yang pernah buat, harap insaf. Yang belum buat, jangan buat. Nanti hidup tidak berkat. Bukan sahaja hidup kita, mungkin akan membawa sampai ke anak-anak.
 
Begitulah.
 
Kredit kepada Cikgu Fadli Salleh