Tahun 2022 sudah meninggalkan kita dan tahun 2023 kini bermula dengan setakat ini tiada berita buruk dilaporkan. Pandemik semakin dapat dikawal (kecuali di China) dan ramai di kalangan kita sudah kembali ke keadaan pra-Covid-19. Ini memberikan harapan baharu bahawa tahun 2023 akan menjadi lebih baik berbanding 2020 yang menyedihkan, 2021 yang mencabar dan 2022 yang memberikan sinar di hujung terowong. Berikut ialah beberapa ramalan Abam Kie mengenai teknologi pada tahun 2023.

1. 5G Akan Mengecewakan
 
5G akan mengecewakan anda, saya, mereka dan keluarga mereka pada tahun 2023. Ini adalah kerana banyak janji manis mengenai 5G sebenarnya tidak diperlukan oleh pengguna biasa. Kemampuan muat turun satu filem 4K dalam masa beberapa saat? Pernahkah dalam hidup anda sedang duduk bosan di rumah dan berteriak “kenapa filem ini tak download 10 saat?”. Tak dapat difikirkan apakah kelebihan muat turun sedangkan kita kita kini di era penstriman di mana kelajuan mahalaju 5G tidak diperlukan langsung. 4G sahaja sudah lebih daripada memadai. Penstriman 8K HDR pantas? Mana perkhidmatan yang menawarkannnya di Malaysia? SIFAR!

Kereta swapandu? Tak wujud lagi Tahap 5 dan anda tak akan mampu membeli kereta ini kalau wujud sekalipun. Perubatan atas talian? Masih di tahap ujian di beberapa institusi perubatan negara. Telesidang lebih lancar? Kita sudah di tahun ketiga pandemik dan telesidang serta mesyuarat atas talian sudah semakin kurang digunakan.

Mengapa akan terus mengecewakan? Kita pandang sahaja ke China dam Amerika Syarikat untuk melihat masa depan 5G negara. Kelajuan tak konsisten, tidak sepantas dijanjikan, harga langganan bulanan semakin mahal dan 4G semakin sampah. 5G ialah teknologi yang mantap dan perlu untuk manusia bergerak ke hadapan. Tetapi analogi ialah seperti sebuah enjin 8.0L quad-turbocharged W16 Bugatti Veyron. Ia enjin yang pantas berkuasa dan berteknologi terkini tetapi 99% manusia di bumi tidak memerlukannya untuk kegunaan harian. Itulah 5G.

2. Harga Telefon Pintar Akan Lebih Murah

Tahu lalu harga purata telefon pintar meningkat. Banyak telefon yang selalunya dikurangkan harga pada penghujung tahun secara mengejut dinaikkan harga. Hampir kesemua pengeluar menyelaraskan semula harga menjadi lebih tinggi kerana isu rantaian bekalan, komponen semakin mahal dan penangan Covid-19 di China.

Pada tahun 2023 peranti akan kembali menjadi lebih mampu milik. Sudah dapat dilihat peranti mercu di China dijual pada harga mesra poket pra-2020. Isu rantaian bekalan sudah selesai dan kini terdapat pula lambakan cip yang menyebabkan harga jualan lebih murah. Nilai Ringgit juga semakin meningkat membantu mengurangkan harga jualan. Dengan jualan telefon pintar sepanjang 2022 lebih rendah berbanding 2022 (kerana ekonomi dan harga), tahun 2023 akan memaksa pengeluar untuk menawarkan peranti baharu tahun ini pada harga yang lebih rasional.

3. Sensor Kamera 1″ Digunakan Lebih Meluas

Era sensor 200MP bermula tahun lalu menerusi telefon keluaran Motorola dan Xiaomi. Tetapi kami merasakan era yang lebih penting ialah penggunaan sensor 1″ pada peranti kelas mercu. Pengguna semakin menyedari saiz Megapixel bukan lagi faktor paling penting pada sebuah kamera. Kita boleh lihat kamera nircermin di pasaran yang rata-rata mempunyai saiz Megapixel kecil tetapi saiz fizikal yang lebih besar.

Tahun 2023 akan melihat penggunaan sensor 1″ yang lebih meluas. Sony menggandakan usaha menghasilkan sensor 1″ untuk telefon pintar tahun lalu dan ia akan menjadi semakin popular tahun ini. Dapat dilihat perbezaan ketajaman gambar pada Xiaomi 12S dan Sony Xperia 1 IV tahun lalu. Peranti mercu iPhone juga mungkin akan akhirnya melompat ke dunia 1″ tahun ini dengan Tim Cook telah melakukan lawatan ke Sony Imaging beberapa minggu lalu.

Yang tidak akan memakai sensor ini pastinya Samsung kerana ISOCELL masih belum mengeluarkan sensor bersaiz ini dan mereka percaya Megapixel lebih penting. Google juga akan kekal dengan sensor kecil kerana meletakkan pertaruhan kepada pengimejan perkomputeran sepenuhnya. Pixel 7 dan Pixel 6A memenangi ujian gambar walaupun menggunakan sensor kecil. Akan terdapat banyak artikel mengenai Megapixel melawan saiz sensor tahun ini. Nantikan sahaja apabila kami dapat mengujinya sendiri.

4. Lebih Banyak Penipuan Atas Talian

Tahun lalu penipuan atas talian semakin berkembang dengan saban minggu ada sahaja panggilan scam mengenai LHDN, bungkusan tidak dihantar, saman polis dan macam scam. Kami meramalkan situasi ini akan menjadi semakin teruk pada tahun 2023 atas sebab beberapa faktor.

Faktor pertama ialah data peribadi jutaan pengguna di Malaysia tertiris tahun lalu ada ada sahaja pangkalan data baharu yang telah dijual di atas talian kepada pihak yang berminat. Ada data baharu bermakna ada individu baharu yang akan menjadi mangsa. Walaupun pelbagai kempen dilakukan kerajaan untuk menentang penipuan atas talian, masih ramai yang terkena kerana sudah tidak lagi membaca akhbar apatah lagi mengikuti saluran rasmi yang memberikan amaran.

Kemudian ia dipacu pula oleh ramai golongan yang ingin kaya dengan pantas. Tahun lalu skim penipuan NFT dan kripto menjadi modus operandi paling menguntungkan kerana ramai hilang kawalan diri untuk seketika seperti Butterfingers kerana inginkan keuntungan tinggi dalam masa yang pendek. Tahun depan akan berlaku lagi kerana nilai kripto dijangka naik semula.

5. Storan Lebih Besar

Storan asas pada telefon akan menjadi semakin besar. Kenapa? Kerana sama seperti 32GB, dan 64GB yang dahulunya normal, storan 128GB sekarang adalah terlalu kecil untuk sebuah telefon pintar kelas pertengahan premium dan mercu. Sekurang-kurangnya 256GB diperlukan untuk telefon moden kerana pemindahan data dari telefon-telefon lama dan peranti kini mengambil gambar serta video pada resolusi paling tinggi.

Tahun lalu Abe Kie banyak mengulas peranti dengan storan 128GB. Usai proses mengembalikan data Android dari awanan, tinggal 20-40GB sahaja ruangan yang tinggal untuk digunakan. Ini adalah tidak memadai untuk setahun apatah lagu telefon yang biasanya dibeli untuk digunakan minima 3 tahun. Tambah tragik apabila difikirkan telefon moden tidak lagi hadir dengan kad mikro SD. Maka kami ramalan 256GB akan menjadi saiz storan minima pada peranti mercu tahun 2023.

6. Komputer Riba Windows ARM Yang Lebih Baik

Penawaran komputer riba dengan cip ARM adalah masih anemik dan memalukan lebih lima tahun sejak ia dilancarkan. Cip Snapdragon 8cx Gen 2 yang diumumkan awal tahun lalu hanya digunakan segelintir komputer riba Windows on ARM. Prestasinya masih belum membanggakan tidak dibantu oleh sokongan aplikasi natif yang masih menyedihkan.

Dengan Apple berpindah sepenuhnya ke senibina ARM menerusi cip Apple Silicon dua tahun lalu, ia sepatutnya memulakan evolusi yang sama pada platform Windows. Pada ahun 2023, Qualcomm dijangka akan melancarkan pemproses ARM untuk komputer riba mereka yang mampu menandingi cip Apple M1. Selepas mengambil alih Nuvia yang melakukan rekaan cip Apple mereka dijangka akan dapat menghasilkan cip dengan prestasi serupa.

Apple membuktikan dengan sokongan perisian yang baik cip yang berkuasa tinggi dan menjimatkan penggunaan bateri boleh dihasilkan. Jualan MacBook melonjak naik pasca pengenalan Apple Silicon. Tahun 2023 kelak kita akan akhirnya mempunyai pesaing yang sudah lama dinantikan.