Guru yang memiliki semua ciri-ciri yang dinyatakan ini, sudah pasti akan disenangi dan disayangi para pelajar. 

Guru yang memiliki semua ciri-ciri yang dinyatakan ini, sudah pasti akan disenangi dan disayangi para pelajar.

Bagaimana mahu menjadi guru yang disukai oleh pelajar? Adakah cikgu-cikgu perlu mengikut segala rentak dan menyokong apa sahaja yang pelajar lakukan semata-mata mahu disayangi oleh mereka?

Pada hari ini, Abam Kie ingin kongsikan beberapa tip yang boleh dijadikan rujukan guru-guru dalam menjadi individu disukai anak-anak didik.

Lima tip ini, bukan sahaja boleh digunakan oleh guru sekolah rendah dan menengah sahaja, tetapi ia juga boleh diaplikasikan oleh pensyarah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Ayuh kita semak, tip yang dikongsikan Cikgu Sarifuddin Sarongi menerusi portal tempatan baru-baru ini.

1) Niat yang ikhlas

Tetapkan niat yang ikhlas, sepenuh jiwa menyampaikan ilmu dan membantu murid dan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan. Maksudnya, jiwai watak guru sepenuhnya dan bantu mereka untuk memahami subjek sedaya upaya.

Jika penerangan A tidak difahami, guna kaedah penerangan B pula. Jika penerangan anda memerlukan rangsangan visual gunakan berbagai bentuk bahan bantu sebagai sokongan seperti video, gambar, audio dan sebagainya.

Bukannya hanya masuk kelas...“Buka buku teks halaman sekian-sekian, baca...” atau “Salin apa yang saya tulis di hadapan” Oh, itu belum cukup seorang guru dikatakan menjiwai watak sebagai guru. Tambahan pula guru masa kini perlu menyahut seruan kementerian agar menjalankan kaedah pengajaran dalam suasana Abad 21.

Apabila pelajar menghadapi kesukaran meneruskan pemahaman mereka, sebagai guru berhenti seketika dan berikan peluang pelajar untuk bertanya, bimbing agar pelajar tidak blur atau berlaku salah faham maklumat.

Percayalah, guru yang mampu mengajar sehingga subjek tersebut difahami akan diingati sehingga bila-bila. Apalagi jika pengajaran dijalankan dalam suasana yang tidak membosankan pasti berbunga riang hati pelajar tatkala anda melangkah masuk ke kelas untuk memulakan tugas.

2) Kenal setiap pelajar

Sebagai guru, bila dapat kenal setiap pelajar dengan memanggil nama pun pelajar itu akan rasa dikenali, dihargai dan diberi perhatian. Ini secara tidak langsung akan membina motivasi dalam diri pelajar terbabit.

Ambil inisiatif dan usaha untuk kenal pelajar anda mungkin melalui karakter, rupa paras atau dengan cara-cara yang bersesuaian.


3) Bina hubungan sesama pelajar melangkaui luar kelas

Seperti mewujudkan perbualan luar topik pelajaran antaranya bertanyakan khabar pelajar, kejadian-kejadian yang berlaku sekitar kawasan kejiranan pelajar atau sesekali puji penampilan pelajar masing-masing.

Ambil peduli jika mendapati pelajar kurang sihat, murung, muram atau apa sahaja dengan sapaan ringkas

“Awak sihat?

"Awak ok?” pun dah menggembirakan hati pelajar dan anda dah dikenali sebagai guru yang prihatin. Tak susah kan?

4) Penampilan luaran guru

Penampilan yang bergaya hanya untuk artis? Tanggapan yang salah sama sekali. Cuba kita imbau kenangan dahulu kala ketika kita masih di bangku sekolah. Pasti masih ingat siapa guru yang bergaya, yang paling harum minyak wanginya atau yang paling kemas penampilannya. Mestilah ingatkan!

Maka, bila menjadi guru, guru perlu menjaga penampilan dari hujung rambut hingga ke hujung kasut. Ini kerana pelajar akan melihat penampilan guru sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.

Bagi guru wanita, pastikan tudung dililit kemas, warna baju tidak menyakitkan mata, jika bermekap jangan berlebih-lebihan dan memakai aksesori yang sederhana.

Bagi guru lelaki pula, rambut disisir rapi, baju yang kemas tidak berkedut, kasut yang berkilat tidak comot, misai dan janggut yang dicukur rapi, malah gunakan alatan penjagaan diri untuk elakkan bau badan yang tidak menyenangkan. Kesannya, pelajar akan mencontohi dan menggemari gaya anda...percayalah.

5) Penampilan dalaman guru

Ini berkaitan dengan sikap guru itu sendiri. Sebagai contoh, guru berhak marah pelajar jika buat salah. Namun, marah sepanjang masa...adakah bagus untuk perkembangan mereka dan proses pengajaran?

Lantas, selang-selikanlah sikap kita dengan unsur humor dan gurauan untuk menambah keceriaan pelajar anda. Senyum dengan wajah yang manis agar memberi kelegaan kepada pelajar.