Kenapa Majoriti Lelaki Berpoligami Mengaku Terbeban?
Ali, seorang usahawan berusia 40-an, memutuskan untuk berpoligami setelah mengenali seorang wanita muda melalui rakan sekerja. Pada awalnya, segalanya kelihatan sempurna. Dia yakin mampu berlaku adil, berbekalkan pendapatan stabil dan kemampuan fizikal pada ketika itu.
Namun, hanya beberapa bulan selepas perkahwinan kedua, Ali mula merasakan tekanan luar biasa. Rumah tangga pertama mula terganggu, isteri pertamanya sering berkecil hati, manakala isteri keduanya menuntut perhatian lebih kerana ianya lumrah bagi mana-mana wanita yang inginkan kasih sayang dan belaian.
Keadaan bertambah sukar apabila kewangannya tidak mencukupi untuk menyokong kedua-dua keluarga. Bukannya perniagaannya merosot, tetapi tambahan perbelanjaan terutamanya rumah baru serta lain-lain untuk isteri barunya. Ali akhirnya mengakui bahawa keputusannya untuk berpoligami tanpa perancangan dan pemahaman mendalam telah menjadi beban besar.
Lebih-lebih lagi dia yang menyediakan segala perbelanjaan keluarga kerana dia tidak membenarkan isteri-isterinya bekerja untuk mengelakkan sebarang fitnah. Ali yang sebelum ini begitu yakin, kini semakin kendur semangatnya. Bukan disebabkan masalah kewangan sahaja, pelbagai isu yang dia tak jangkakan juga menyumbang tekanan buat beliau.
Mengapa Lelaki Poligami Terbeban?
Menurut kajian dan pemerhatian, di anggarkan 80% lelaki yang berpoligami mengaku terbeban kerana beberapa faktor berikut:
1. Kegagalan Mengurus Keadilan
Islam menuntut lelaki berpoligami untuk berlaku adil dalam aspek kewangan dan masa. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 129:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”
Ramai lelaki tidak memahami bahawa keadilan bukan sekadar memberi nafkah yang sama, tetapi juga melibatkan perhatian dan kasih sayang (walaupun ianya tidak wajib) kerana wanita adalah makhluk yang penuh dengan emosi.
2. Tekanan Kewangan
Dalam situasi ekonomi semasa, menanggung dua keluarga bukanlah tugas mudah. Bayangkan jumlah kos kehidupan seperti sewa atau pembiayaan rumah, makanan, pendidikan anak-anak dan keperluan lain yang meningkat berkali ganda. Ini menyebabkan ramai lelaki berpoligami terjebak dalam hutang.
3. Konflik Dalaman Keluarga
Isteri pertama yang berasa dipinggirkan dan isteri kedua yang menuntut lebih perhatian sering mencetuskan konflik. Situasi ini boleh mempengaruhi kesihatan mental suami, menyebabkan tekanan emosi yang berpanjangan. Walaupun si suami mencuba sebaiknya, namu isu ini tak akan pernah selesai.
4. Kehilangan Kualiti Hubungan Intim
Hubungan intim sering menjadi hambar kerana suami terlalu sibuk memenuhi tuntutan kedua-dua rumah tangga. Ini menambah jarak dalam hubungan suami isteri, seterusnya merosakkan keharmonian keluarga. Niat asal suami untuk mendapatkan hubungan intim yang memuaskan dalam poligami hanyalah igauan semata-mata melainkan jika isteri-isterinya memahami dan ada sifat empati. Malangnya ianya jarang berlaku.
5. Kurangnya Ilmu dan Persiapan Agama
Ramai lelaki berpoligami tanpa memahami tanggungjawab besar yang datang bersama keputusan tersebut. Mereka lebih terdorong oleh nafsu daripada niat untuk menjaga sunnah Nabi SAW. Malangnya kebanyakan lelaki yang mengamalkan poligami tidak mampu untuk mengurus lebih dari satu keluarga yang menyebabkan isteri-isteri dan anak-anak terabai.
Motivasi terbesar kebanyakan lelaki untuk berpoligami datangnya dari tarikan seksual. Ditambah lagi dengan bermulanya hubungan yang hambar di ranjang bersama isteri pertama. Ini membuatkan si suami ingin berkahwin lagi untuk memenuhi desakan tersebut.
Sebagai isteri, adalah penting memastikan hubungan suami isteri tetap hangat dan mesra. Ini dapat mengelakkan suami dari berfikir untuk berpoligami.
Buat kaum isteri, jangan takut dengan poligami, tetapi berusahalah untuk menjadi wanita yang suami tidak akan lepaskan. Sentiasa menjaga keperluan zahir dan batin suami, kerana itu adalah kewajipan seorang isteri yang juga ibadah di sisi Allah. Namun, jika suami tidak layak atau gagal menguruskan poligami, tidak berdosa untuk menasihati atau menolaknya. Perhatikan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 286:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Sedikit nasihat buat kaum suami. Poligami bukan hak yang boleh diambil mudah, tetapi amanah yang sangat berat. Pastikan anda benar-benar layak dari segi kewangan, emosi dan ilmu agama sebelum melangkah ke dalamnya. Ingatlah sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (HR Tirmizi).
Semoga kita semua sentiasa diberi kebijaksanaan dalam membuat keputusan, menjaga keharmonian rumah tangga, dan memperoleh keredhaan Allah SWT.
3 Comments
Susah nak cakap bila bab poligami ni. Tak tahu apa yang bermain di fikiran lelaki. Seronok ke kahwin ramai? Boleh tu memang boleh kahwin lebih, tapi dah betul2 ready ke nak terima kesan di sebaliknya?... Fikir2 kan lahh
ReplyDeleteBukan tentang keseronokkan je, tapi tanggungjawab yang berat nak pikul tu. :D
Cukup satu
ReplyDeletesaya seorang pun tak ada lagi =)
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.