Abam Kie ialah anak petani. Ayah abam kie menanam padi untuk membesarkan kami enam beradik. Masih teringat lagi pada masa kanak-kanak abam kie bermain di dalam sawah padi berselut untuk mencari ikan darat yang terperangkap apabila petak sawah dibajak. Sempat jugalah merasa pengalaman membajak sawah menggunakan tenggala kerbau. 



Arwah ma abam kie pula menolong ayah mencabut anak padi dan diikat menjadi gemal sebelum diubah ke petak sawah. Dia tidak menggunakan kuku kambing pun. Kadang-kala dia dibantu oleh saudara-mara kami yang lain. Maklumlah tanah ayah luas. Tak larat jika mereka berdua aje yang bekerja di sawah. Lepas tu bagi la upah seringgit dua.



Apabila musim menuai itulah yang paling best sebab kami kanak-kanak pun tumpang menyibuk. Abam Kie suka bermain di atas jerami yang sudah dibanting padinya. Pada tahun 70an tu proses menanam padi masih dijalankan secara tradisional. Masuk era 80an barulah jentera pembajak dan mesin penuai diperkenalkan di kampung abam kie. Empangan Hilir Sat, Machang, Kelantan pula siap dibina pada 1979 membolehkan penduduk kampung menanam padi 5 kali dalam masa 2 tahun. Jadi petani2 di kampung tidak berharap kepada air hujan semata2.

Sekarang ini semuanya sudah berubah. Padi ditanam secara tabur aje. Pas tu jentera pengetam akan menuai padi dan bila siap terus dimuatkan ke dalam lori pengangkut. Ayah cuma menerima duit sahaja. Hairan juga kami menanam padi sendiri tapi masih membeli beras siam. Hah, macam Malaysia la. Jual minyak ke negara luar tapi beli minyak dari Arab. Begitulah kiranya,