Raya hari apa, hah?
Sehingga sekarang kita masih lagi tertanya-tanya bilakah tarikh hari raya Aidilfitri tahun ini? Ada yang kata Jumaat, 21 haribulan sedangkan ‘kalendar kuda’ meletakkan tarikh pada Sabtu, 22 April. Indonesia menetapkan 1 Syawal bersamaan 21 April, begitu juga Pusat Astronomi Antarabangsa menjangkakan 1 Syawal jatuh pada hari yang sama iaitu Jumaat juga (21 April).
Seluruh masyarakat berasa tidak selesa dengan ‘pihak yang menjalankan tugas’ hal-ehwal puasa dan raya mengendalikan hal ini kerana mereka membiarkan ‘kita’ berada dalam keadaan tertanya-tanya. ‘Kita’ khuatir berlaku lagi raya terkejut seperti tahun lepas. Kelam-kabut seluruh negara dengan lemang, ketupat, dan rendang tak siap lagi. Ada yang beli tiket bas atau tiket kapal terbang pada tarikh yang mereka tak sangka telah pun masuk hari raya pertama. Terlepaslah sembahyang sunat Aidilfitri disebabkan kalut nak kejar bas atau kapal terbang. Penyudahnya hari raya pertama jadi hari ‘ke laut’. Ini yang ‘kita’ tidak mahu berlaku lagi.
‘Kita’ mahu pihak berwajib sentiasa bersedia memberikan rasa lega kepada ‘kita’ semua. Saya memberikan tanda pengikat kata pada perkataan kita sebab saya juga ingin masuk ke dalam kita tersebut sedangkan secara peribadi saya memang tidak kisah sangat. Ini bukan hal besar bagi saya.
Memang sekali pandang kita lihat kekalutan teka-teki tarikh hari raya ini bukan isu besar, tetapi bagi sesetengah pihak ia memang isu besar. Justeru, yang menjadi kemusykilannya kenapakah pada 2023 pihak ‘di jabatan sana’ masih ‘gagal’ menguruskan tarikh hari raya? Mengapa hal menetapkan tarikh ini masih membuat rakyat resah? Di mana tak kenanya?
Merujuk laman web Majlis Keselamatan Negara, “terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah iaitu pertama, ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata. Kedua, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata dan ketiga, ‘rukyah dan hisab’ dengan menggunakan ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan. Malaysia salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah. Justifikasi pemilihan kaedah tersebut sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.”
Jadi, mengapa masyarakat Melayu-Islam di Malaysia masih tidak cakna tentang hal anak bulan ini? Saya masih ingat zaman kanak-kanak dahulu rasa berdebar-debar berada di depan televisyen untuk mendengar pengumuman tarikh hari raya oleh penyimpan mohor besar raja-raja. Mak dan ayah serta jiran-jiran sudah biasa dengan keadaan ini. Mereka hanya ingin tahu sama ada esok atau lusa sahaja. Jika jatuh pada hari esok, kaum ibu terus menyiapkan bahan-bahan dan berjaga malam untuk merendang dan merebus ketupat. Kaum bapa pergi bertakbir dari rumah ke rumah sekitar kejiranan. Kemudian sepanjang malam membawa ke dinihari mereka membakar lemang atau mengacau dodol.
Bagi sesetengah keluarga yang tidak mahu kelam-kabut, mereka sudah pun menyiapkan semuanya pada hari melihat anak bulan. Jika hari raya jatuh pada hari lusa pun tidak mengapa. Hal biasa, semua sudah faham. Maknanya keadaan belum muktamad tarikh hari raya pada tahun 80-an dahulu bukan isu besar. Pengumuman di televisyen hanya sebagai memenuhi syarat sah sahaja. Bukan untuk dipertikaikan. Malah pada 1983 pernah berlaku ada negeri di Semenanjung beraya awal sehari. Saya masih ingat lagi peristiwa tersebut.
Pada pemerhatian saya selama 30 tahun ini, tarikh puasa dan tarikh hari raya sudah siap-siap dimasukkan dalam kalendar dan hari raya selalunya jatuh tepat-tepat seperti di dalam kalendar. Seolah memang sudah dirancang begitu. Itu saya fikirlah. Saya semakin lupa tentang rukyah, hisab falak, serta rukyah dan hisab ini. Jadual hari raya saya telah dikemaskan. Saya merancang untuk tempah baju, beli biskut raya, balik kampung semua itu dengan merujuk kepada kalendar, bukan lagi kesedaran tentang kaedah melihat anak bulan. Lama-kelamaan ini menjadi kebiasaan sehingga lah berlakunya peristiwa ‘raya terkejut’ seperti tahun lepas.
Sebab itulah tahun ini kita bising-bising lagi. Fikiran kita sudah dikepung dengan materialisme. Hari raya pakejnya mesti ada baju raya, langsir baharu, kuih raya malah ada yang sampai beli kereta baharu sempena raya. Penetapan hari raya siap-siap dalam kalendar ‘strategi licik’ tauke besar meletakkan pancang dalam fikiran kita tentang jualan mega. Kita terlupa tentang anak bulan dan perkiraannya.
Sewajarnya dalam bab puasa dan raya ini meskipun nampak remeh tetapi bagi saya penting juga kerajaan melalui badan yang bertanggungjawab menggiatkan usaha mendidik masyarakat supaya lebih faham dan sedar apa dia puasa dan raya. Ia ibadat, namun begitu tidak boleh juga dikesampingkan tentang pengetahuan ekonomi. Jika masyarakat dapat mengimbangi antara ibadah dan keperluan nescaya suasana tenteram akan kembali ada. Sama seperti generasi 80-an yang tenang, memahami keadaan dan tidak kelam-kabut seperti hari ini.
Tidaklah ada lawak jenaka berbunyi, ‘nampaknya tarikh hari raya kita pun sama macam tarikh pilihan raya. Sama-sama misteri!
Sumber: Affandi Ramli (FMT)
13 Comments
Mak-mak tenang je ye...bahan-bahan memasak semua siap awal. Raya esok ke lusa ke semua boleh..haha
ReplyDeleteTidak payah kalut sangat terap akan raya sama ada Jumaat atau Sabtu. Biarlah misteri macam lailatul qadar.
ReplyDeletetahun ni kita mungkin berpecah 3 dan aidilfitri akan ada 3tarikh berbeza mengikut mazhab(hisabi,imkanul rukyah,rukyah hakiki),dalam apa pun mazhab penentuan harap rakyat malaysia jgn la rasa dia je yg betul org lain salah kan abam kie....
ReplyDeleteselamat hari raya abam kie,maafkan saya andai ada penulisan saya yg mengguris hati sepanjang berblog
seminggu ni bila pergi surau, ada juga ustaz bagi tazkirah pasal penentuan tarikh hari raya ni. ramai yang tak tahu terutama generasi muda
ReplyDeleteSama2 la kita berdebar.
ReplyDeletehari Jumaat ke hari sabtu...sama2 kita raikan hari raya, hari yang mulia..
ReplyDeletetu la..sama2 la kita tunggu pengumuman esok malam yer
ReplyDeletesy tunggu pengumuman je la abe kie. nasib baik tahun ni tak balik ganu. kalau dak kalut juga. tahun ni raya selangor saja. dekat tak kalut hehe
ReplyDeleteRaya hari Sabtu cikgu..dah keluar berita tadi
ReplyDeletedah confirm hari sabtu. hehehe...
ReplyDeleteRaya hari Sabtu. Rendang saya pun dah habis. 😊
ReplyDeleteHahahaha Malaysia masih mending, biasanya ditetapkan serentak tanggal hari raya. Kalo di Indonesia , karena di sini ada 2 aliran, Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama (NU), hari raya pun ada 2 tanggalnya abam.
ReplyDeleteMuhammadiyah confirm 21 April Jumat, NU dan pemerintah tgl 22 hari Sabtu.
Mereka menggunakan metode yg berbeda, dan dari zaman dahulu kala selalu beda 😂, ga pernah kompak.
Saya sendiri ikut pemerintah dari dulu. Tapi keluarga besar saya mostly Muhammadiyah. Jadi mereka selalu berhari raya lebih dulu daripada saa. Tapi kami saling menghormati pilihan masing2 sih. Jadi walaupun keluarga hari raya Jumat, mereka tetep mengadakan openhouse hari Sabtu, menunggu keluarga yg beraliran NU selesai puasa 😄
Btw, selamat hari raya abam kie. Mohon maaf lahir dan batin yaa
tiba2 hari raya..hehe
ReplyDeleteThanks for leaving your comment. Please come again. I will visit your blog soon.