1. Dahulu, kita boleh pergi rumah nenek tokwan atau mak saudara bapa saudara kita sesuka hati. Tidur, makan minum, bermain, berkumpul bersama sepupu sepapat kita semahunya. Tak perlu temujanji, tak perlu bagi tau, tak perlu telefon terlebih dahulu. Nak duduk dua hari, seminggu atau sehabis sepanjang cuti sekolah pun boleh. Bermainlah kita dengan puas dan gembiranya. Main sungai, main kolam, kejar ayam itik, masuk kebun buah, panjat pokok, main pondok-pondok, main kejar-kejar, sembunyi-sembunyi tanpa rasa takut atau bimbang. Mak ayah kita boleh tinggalkan kita di rumah tokwan nenek berhari-hari tanpa risau. 

2. Tokwan nenek melayan kita dengan baik. Penuh kasih sayang. Malam-malam suruh solat, mengaji dan baca Quran sama-sama. Lepas makan, dengar cerita keliling duduk dekat dengan atuk atau tokwan sambil gelak ketawa. Macam-macam cerita yang disampaikan oleh atuk kita. Cerita lucu, cerita hantu, cerita binatang, cerita masuk hutan dan macam-macam cerita lagi. Kemudian tidur ramai-ramai di ruang besar rumah tokwan sampai pagi esok. Pagi esok tokwan mandikan kita di tepi perigi. Lepas tu sarapan sama-sama. Bila dah nak habis cuti sekolah, baru mak ayah kita datang ambil. 

3. Tetapi kini tidak lagi. Situasi sudah jauh berubah. Kita tidak lagi seperti dahulu. Anak-anak kita memilih rumah mak saudara mana yang mereka lebih suka. Mereka memilih dengan siapa mereka mahu berurusan. Datuk dan nenek memilih dengan cucu mana mereka mahu lebih rapat. Cucu juga tidak suka datang rumah atuk macam kita dulu-dulu. Duduk sejam je, terus nak balik rumah sendiri. Rumah tokwan panas, tak ada aircond, tak ada wifi, tak cukup bilik. Rumah tokwan banyak nyamuk. Tok wan sibuk, garang dan macam-macam lagi lah. 

4. Kita tidak boleh sesuka hati pergi rumah mak saudara atau bapa saudara seperti dahulu. Mesti call dulu. Wasap dulu. Buat appointment dulu. Tanya mereka free atau tidak. Dibenarkan atau tidak diizinkan. Jika mereka free atau tidak pun sibuk, jika mereka suka, barulah boleh pergi. Malahan nak call pun kena wasap dulu. Jika mereka free dan OK, barulah kita boleh call. Takut mengganggu mereka. Kerana semua sangat sibuk. Masa mereka adalah harga yang perlu dibayar dan dinilai. 

5. Bila dah sampai, tidak boleh buat macam rumah sendiri. Mesti duduk dengan sopan, makan disusun, bila dijemput baru makan. Nak tidur baring macam zaman saya kanak-kanak dulu, dah tiada lagi. 

6. Kita memilih dengan siapa kita nak lebih rapat. Jika berjumpa, bersalam dan senyum, lalu terus sibuk dengan hp masing-masing. Gajet menjadi peneman setia setiap orang. Di tangan kita, semua ada hp. Kuasanya mengambil alih semua peranan kemanusiaan dan keinsanan. Tiada bual mesra, tiada berkongsi cerita, tiada sembang mesra, tiada gurau senda. Kita sunyi dalam dunia kita sendiri. 

7. Datang beraya, tetapi semua melayan hp sahaja. Jika bercakap pun, semua dengan hal sendiri. Kita takut nak bertanya lebih walau dengan sepupu sendiri. Takut mereka jauh hati, takut sensitif, takut topik tak sesuai, takut mengguris rasa. Akhirnya hanya tanya datang dari mana, belajar kat mana? Lepas tu masing-masing sibuk dengan hal sendiri. 

8. Semakin ramai anak-anak muda stress, depression, anxiety, semakin ramai yang sunyi, semakin ramai yang tiada kawan baik, semakin ramai yang tidak tahu bersenda gurau, tidak reti untuk berbual atau bercakap bermesra dan semakin ramai yang tidak tahu bersilaturrahim. Walaupun dengan mak saudara bapa sauadara, sepupu sepapat sendiri. 

9. Jika ada sepupu atau anak saudara yang nak kahwin, semuanya dah pakai wedding planner atau katering sahaja. Tiada lagi gotong royong, tiada lagi mesyuarat keluarga, tiada lagi AJK jemputan, jaga khemah dan kerusi meja, jaga makanan dan masakan, bahagian penyambut tetamu, bahagian pengiring dan bunga manggar, bahagian marhaban atau hadiah dan buah tangan. Kita datang semua dah siap. Tiada lagi yang bagi kelapa, bagi beras, bagi telur, sayur, bagi daging dan ayam, bagi pinjam kerusi meja, karpet, bagi pinjam khemah atau canopy secara gotong royong macam zaman kita kecil dulu. Jika dulu semuanya sepakat tolong menolong untuk kenduri kahwin. Riuh sekampung. Kini dah berubah. Urusan persiapan pelamin, kerusi meja, hiasan dewan, persiapan, hadiah, jemputan, makanan, jemputan, karpet, bilik pengantin, susun atur dan sebagainya semuanya disiapkan oleh wedding planner sahaja. Buatpun di hotel atau event hall sahaja. Kita datang sebagai tetamu saja seperti tetamu lain. Gotong royong dan rewang-rewang terhapus sama sekali. 

10. Sepupu sepapat dan mak saudara atau bapa saudara tidak rapat seperti dulu lagi. Mak Long, Pak Long, Mak Ngah, Pak Ngah, Mak Su Pak Su, pakcik, makcik semua sibuk dengan hal sendiri. Semua mereka dah jadi orang hebat, korporat, profesional, businessman, business women, doktor, lawyer, enginer, pilot, banker, akauntan, arkitek, founder, CEO, influencer, terkenal, ada pangkat dan sebagainya. 


11. Dulu apabila ada hal penting, kita akan rujuk mak saudara atau bapa saudara kita. Nak masuk universiti mana, nak pilih bidang apa yang sesuai dengan kelulusan dan minat kita, nak pilih pekerjaan apa, pandangan tentang jodoh pun kita refer mak dan bapa saudara kita. Kita anggap mereka macam ibu ayah kita sendiri. Mereka menjadi tempat rujukan kita yang utama selain ibu ayah kita sendiri. Dan mereka juga sangat ikhlas dengan anak-anak saudara. Walaupun mereka tegas, tetapi anak-anak saudara sangat hormat dan sayang kepada mereka. Saya sangat sayang pada bapa mak saudara saya seperti Ayah Long. ayah Mad, ayah Man, Ayah Leh, ayah Ngah, Yed(bapa sauadara), mek, Cik Mah, Mak Ngah Soh, Makcik Noh, Moksu Nah, mek, Ciksu dan sebagainya

12. Jika ada kematian keluarga, semuanya diuruskan oleh qariah yang kita dah bayar khairat kematiannya dengan masjid atau surau di kawasan perumahan masing-masing. Kita datang, bersedih sebentar, dibawa ke kubur, terus kita balik. Yang menguruskan jenazahpun adalah pihak masjid. Yang menguruskan jenazah ke pusara pun pihak masjid. Kita datang mengiring dan mengucapkan takziah sahaja. Lepas tu kita balik. Tiada lagi majlis tahlil di rumah. Jika adapun hanya dibuat di masjid dan surau sahaja. Kita tak rasapun untuk sama-sama hadir. Yang baca Al-Quran pun kita bayar pada ahli qariah masjid atau kita upah anak-anak dari sekolah tahfiz tertentu. Tiada lagi jiran tetangga yang datang tahlil, atau mengaji sampai khatam hadiah untuk si mati seperti zaman kita kecil-kecil dahulu. 

13. Fasa hidup kita telah berubah dengan begitu besar sekali. Sepupu jarang berjumpa, dua sepupu dah tak kenal dan sangat jauh. Padahal hubungan darah masih sangat dekat. Apabila ibu, ayah, datuk dan nenek saya telah tiada, barulah saya sedar bahawa kita telah kehilangan nilai yang sangat hebat daripada ayah, ibu, datuk dan nenek kita. Mereka telah memberikan nilai yang begitu tinggi dalam aspek ilmu, pelajaran, adab, akhlak, kasih sayang, hubungan kekeluargaan, kejujuran, disiplin, hormat menghormati, silaturrahim, rezeki, kekeluargaan, pekerjaan dan kehidupan. 

14. Anak-anak kita hari ini, bukan seperti zaman kita menjadi kanak-kanak dan remaja dahulu. Semuanya telah berubah. Mereka akan mengalami fasa kehidupan yang sangat berbeza apabila kita telah tiada nanti. Ketika mereka di alam remaja, fasa kehidupan mereka adalah mencari identiti sendiri tanpa terlalu terikat dengan tradisi keluarga lama seperti zaman kita. Mereka harus mempersiapkan diri dengan kemahiran dan skils untuk menghadapi dunia kolej dan pekerjaan mereka. Kebergantungan dan keterikatan kepada tradisi lama keluarga sudah berlalu. 

15. Kita pula akan mulai bersara pada usia 55 atau 60 tahun. Ya hakikatnya selepas itu kita akan mula dilupakan. Tempat kita akan diganti oleh orang lain, jasa-jasa yang telah kita sumbangkan akan sedikit demi sedikit dilupakan orang. Kita akan kembali menjadi orang biasa, tiada pangkat, tiada kedudukan, tiada nama, tiada driver, tiada PA atau sebarang keistimewaan lagi. Semuanya akan sirna. 

16. Anak-anak pula akan semakin sibuk dengan kehidupan mereka sendiri. Mereka sibuk membina kerjaya mereka, bisnes mereka, mereka sibuk dengan pasangan atau keluarga mereka. Anak-anak bukan lagi tempat yang sesuai untuk kita bergantung harap pada fasa emas kita. Harus disedari, kita wajar mempersiapkan sendiri keperluan simpanan untuk hari tua kita, simpanan kita, insuran kesihatan kita, rumah tua yang sesuai untuk zaman emas kita sendiri, aktiviti yang sesuai untuk kita sendiri, penjagaan kesihatan kita sendiri. 

17. Maka seperti selalunya, hargailah pasangan kita sendiri. Selagi mereka ada, hargailah kereka sesungguhnya. Hanya dia yang akan menemani kita nanti. Lakukan yang terbaik untuk kebahagiaan pasangan kita. Setialah dengannya, jagalah keperluan fizikalnya, layani emosinya, penuhi level spiritual hidup kita bersama dengannya. 

18. Jika kita masih mempunyai adik-beradik, sentiasalah menghubungi mereka, berjumpa dan berkumpul dengan mereka, saling mengasihi dan menyayangi mereka. Tidak rugi memberi hadiah, memberi makan, menghulur wang, mengunjungi dan menggembirakan mereka. Bermesra dan bertaut cinta dari hubungan sedarah sedaging, yang tidak mungkin terlerai sampai bila-bila. Hargai semuanya. 

19. Saya mempunyai 6 orang adik beradik. Saya anak kelima. Sentiasa berjumpa dan bersilaturrahim. Mereka semua insan hebat, berjaya dalam karier masing-masing. Saya kagum dengan kejayaan mereka. Mereka pula kagum dengan kejayaan saya. Begitulah adik-beradik, saling mendokong dan mendoakan antara satu sama lain. 😄

20. Hari Raya Aidil Adha pertama kami berjumpa bersama keluarga masing-masing di Machang, Kelantan. Tengah hari semalam kami berjumpa lagi berempat sahaja. Hidup ini pilihan. Walaupun struktur keluarga dan kehidupan moden telah mengubah banyak perkara dan nilainya, tetapi kami masih berusaha mengekalkan kasih sayang yang disemai oleh arwah ayah dan ma kepada kami enam beradik. Sedaya mungkin kami pertahankan elemen-elemen murni dan nilai-nilai mulia dalam keluarga kami.