1. Bagaimana meningkatkan keberuntungan dan menarik rezeki dalam rumahtangga?  Simple tetapi ramai orang tak buat malahan mengabaikannya. 

2. Pertama, jangan sesuka hati membuang makanan. Setiap makanan yang kita perolehi adalah kurniaan daripada Allah SWT. Ia adalah suatu rezeki yang Allah turunkan dari langit. Maka jangan sesukanya membuang makanan yang datang sama ada yang kita beli sendiri, yang kita masak atau yang diberi oleh orang lain kepada kita. Jika terlalu banyak atau ada yang kita rasa lebih dari keperluan kita, berilah kepada orang lain. Mungkin kepada jiran, kepada guard sekuriti dekat rumah kita atau sesiapa sahaja. Asalkan jangan dibuang sesuka hati. Walaupun kita orang senang atau orang kaya. Keberuntungan dihitung dari setiap satu sentimeter atau sebutir beras atau sesudu garam rezeki yang masuk ke rumah kita. Perhatikanlah. 

3. Kedua, Kebersihan rumah adalah sangat perlu dijaga. Rumah wajib dibersihkan setiap hari, bermula di bilik tidur, bilik air, katil, wordrobe pakaian, dapur, ruang tamu, dapur basah, dapur kering dan sebagainya. Luangkan masa setengah jam untuk membersihkan rumah kita setiap hari. Didik anak-anak kita melipat selimut dan meluruskan cadar biliknya sendiri setiap kali dia bangun tidur, membuang sampah dalam bilik tidur, membersihkan bilik air mereka sendiri. Ajak suami kita mengemaskan barangan peribadinya sendiri, mengemaskan wordrobe pakaian, menyusun buku bacaan. Kita pula mengemas dapur, ruang tamu, bilik rehat, surau, ruang keluarga dan sebagainya. Aura rumah akan menjadi lebih baik dan menarik limpahan rezeki datang ke rumah yang kemas dan bersih. Keberuntungan akan meningkat, kerjaya anak-anak menjadi lebih bagus, perniagaan kita semakin maju, hubungan suami isteri harmoni bermula dari rumah yang kemas tersusun dan bersih. 

4. Sebaiknya ada pergantian udara dan kemasukan cahaya ke dalam rumah kita. Alhamdulillah, seawal 6.30 pagi saya dah buka tingkap bilik tidur saya, buka sliding door balkoni bilik Irah, tingkap bilik Aisyah dan Aimi. Turun ke bawah, sliding door di ruang tamu juga dibuka. Begitu juga sliding door di depan meja makan dan surau. Tingkap tinggi di dapur dan ruang makan keluarga juga dibuka. Bestnya, angin menerjah masuk, cahaya Duha masuk bermula jam 7.30 pagi, angin damai menerpa masuk ke dalam rumah di setiap ruang. Bunyi kicauan burung bersahutan mencari rezeki. Burung-burung ini juga singgah menghinggap di tingkap rumah. Cahaya Dhuha adalah cahaya pembawa rezeki dan keberuntungan kepada rumah kita . Rumah kita tidak akan memerangkap udara yang lama, bergantian udara baru yang segar lagi menyegarkan. Bau wangi dari aroma yang dipasang sungguh menyamankan. Rumah kita  terang dengan cahaya dari sang suria yang memancar indah. Bau yang tidak enak tidak ada di rumah kita. 

4. Buang barang-barang lama yang tidak digunakan lagi di rumah kita. Masyaalllah saya paling tidak suka menyimpan barangan yang tidak digunakan. Bersihkan rumah kita daripada botol-botol kosong, bekas kontainer makanan yang kita beli, bekas-bekas plastik biskut raya, botol kicap, botol jem atau botol segala sambal dan margerin. Hantar ke kedai atau pusat kitaran semula. 

5. Bersihkan dan asingkan surat khabar lama, majalah-majalah lama, buku-buku sekolah anak-anak kita, sekolah rendah, buku tadika, sekolah menengah yang tidak lagi digunakan. Sedekahkan jika masih elok. Surat menyurat, bil-bil yang tidak diperlukan lagi. Resit-resit belian yang sudah disimpan lebih lima tahun juga mesti dibersihkan. Buang juga segala poster, segala flyers lama, fail-fail lama, bahan-bahan bacaan lama yang tidak lagi digunakan. Rumah yang dipenuhi dengan segala kertas, majalah lama ini sangat menyemak dan mengambil banyak ruang dalam rumah. Apa lagi jika kita tidak menyusunnya dengan kemas. Apabila dibersihkan, rumah kita kelihatan lebih kemas, tersusun, ada ruang kosong yang banyak dan kita isikan dengan barangan yang masih diperlukan sahaja. 

6. Jangan sayang barangan yang tidak digunakan. Bagi saya, jika pakaian saya tidak dipakai lebih setahun, saya akan sedekahkan. Baju kurung, baju Melayu, blouse, jubah atau seluar, kot, shawl yang tidak muat lagi kerana badan yang semakin besar atau badan semakin mengecil, pasti akan disedekah. Bersih dan clear wirdrobe bilik kita .  Begitu juga pakaian Dzul, baju Melayu, jaket, kot, seluar, jeans, songkok, sampin, Tshirt semua akan disedekahkan. Barulah kita boleh masukkan pakaian baru yang sesuai dengan saiz badan dan usia kita. Ini mengundang kelimpahan rezeki kerana pakaian itu disedekahkan kepada orang lain yang memerlukannya. Aura bilik kita menjadi sangat berbeza apabila barangan lama dikeluarkan. 

7. Buang sampah setiap hari. Sampah dari kotoran di dapur, sisa makanan selepas makan, bahan buangan selepas memasak, kotoran dari lauk pauk basah yang dibersihkan, mesti dibuang setiap hari. Pada malam hari, tidak ada kotoran basah dan busuk di dalam rumah. Jadi bau busuk tidak ada di dalam rumah kita pada waktu malam. Kerana pada malam hari, limoahan rezeki baru akan masuk ke dalam rumah. 

8. Peti sejuk, dua minggu sekali mesti dikeluarkan barangan yang masih baik atau yang sudah tidak elok. Bersihkan peti sejuk rumah kita. Diasingkan makanan yang masih baik, disusun semula di dalam bekas yang bersih, dibuang jika ia tidak elok lagi. Peti sejuk dibasuh. Kemaskan semula telur, makanan basah, makanan kering, segala sayuran, buah-buahan, dan bahan-bahan lain. Lap dan wangikan dengan arang untuk menyedut bau yang kurang enak di dalam peti sejuk. Susun jika ada fridge magnetic atau nota-nota kecil yang ditampal pada peti sejuk. 

9. Bersihkan pinggan mangkuk, periuk atau kuali atau papan pemotong yang digunakan untuk memasak. Basuh semua peralatan di dapur, pisau, senduk, sudip, sudu garfu yang digunakan sebelum kita tidur. Pastikan bersih dan tidak ada peralatan kotor di dalam sinki atau di atas dapur. Kemaskan meja, lap dengan sabun yang dikhaskan. Lalat, lipas, tikus, cicak tidak akan datang bersarang di dapur yang kemas, bersih dan teratur. Ini juga menarik kebahagiaan, kesenangan hati dan menjadi centre limpahan rezeki . Bangun pagi esok, jiran depan rumah bagi durian, jiran di kiri bagi kek, jiran di kanan bagi kerepek, jiran di belakang bagi cili merah, lengkuas, halia yang ditanam sendiri. Jiran lain bagi makanan kucing lagi. Setiap minggu dapat rezeki pemberian jiran-jiran. Bestkan, jiran yang baik dan pemurah juga rezeki. Ajar anak-anak kita membersihkan dapur bersama-sama. Ini semua tarikan kasih sayang, kerjasama dan keberuntungan untuk rumah dan keluarga kita. 

10. Tingkap bilik tidur, tingkap rumah, cermin-cermin hiasan, sliding door akan dibersihkan sebulan sekali. Begitu juga hiasan lain seperti frame gambar, hiasan kecil dan sebagainya. Nampak bersinar dan menyenangkan. 

11. Sentiasa ajar ahli keluarga kita mengucapkan ucapan terima kasih. Hargai setiap ahli keluarga yang ada. Berikan dorongan dan pujian yang diperlukan semua orang. Setiap orang layak mendapat penghargaan, pujian dan ucapan terima kasih dari setiap kebaikan walau sekecil apapun yang dilakukannya. 

“Terima kasih abah”

“Terima kasih mama”

“Terima kasih kak Ida”(prmbantu rumah kami)

“Terima kasih Aimi atau Kak Aimi”. (panggilan adik-adik)”

“Terima kasih Adib atau abang” (panggilan adik-adik)

“Terima kasih Irah”

“Terima kasih Aisyah”

Begitulah setiap hari kedengarannya. Jadi semua happy, semua rasa dihargai dan disayangi. Semua happy dan ceria. 

12. Rumah kita juga wajar dibuka lebar pintunya. Bukaan pintu yang lebih lebar menjemput lebih banyak rezeki dan kebaikan. Ia membawa energi kebaikan ke dalam keluarga kita. Letakkan pokok atau tanaman hidup di dalam rumah kita walau bunga hidup yang dibeli atau pokok kecil. Tanaman hidup diyakini mendorong lebih banyak aura positif ke dalam rumah dan membawa rezeki. Air pancuran atau ikan yang dibela juga mengundang rezeki. Kolam ikan rumah kami dalam proses untuk dibuat. Bunyi air pancuran pasti memberi aura yang sangat menyenangkan. Damai lagi harmoni. 

13. Yang pasti, rumah yang selalu dibacakan Al-Quran, dibuat solat berjemaah juga akan menarik keberuntungan dan limpahan rezeki. Juga rumah yang selalu dikunjungi tetamu. Selalu diadakan majlis ilmu juga mengundang rezeki dan kelimpahan keberuntungan bagi setiap penghuninya. Majlis khatam Al-Quran Kelab 7 Pagi, majlis ilmu dan usrah sering diadakan di rumah ini selain majlis taalim sekeluarga. Maka selalulah mengajak ahli keluarga untuk membaca Al Quran dan mengadakan solat berjemaah. Insyaallah berkat dan selamat. Rumah yang tenang dan bersih akan menjadi asas pembentukan keluarga yang bahagia, menjadi tempat berehat untuk seluruh keluarga dan menjadi stesen berkumpul yang sangat dirahmati Allah. 

Moga bermanfaat.